Tuan Yang di-Pertua,
Bagi mengatasi masalah jerebu di peringkat tempatan, Kementerian dan setiap agensi yang terlibat mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan yang antara lainnya melibatkan perkara-perkara berikut iaitu:-
a) Mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka di seluruh negara mulai 12 Januari 2016.
b) Pemantauan rapi ke atas kawasan tanah gambut yang sering terbakar melalui pengaktifan Prosedur Tetap Operasi (PTO) Program Pencegahan dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar;
c) Penguatkuasaan semasa musim panas dan kering dipertingkatkan ke atas punca-punca pencemaran udara yang lain iaitu pelepasan asap dari kenderaan bermotor, pelepasan habuk dari kerja-kerja tanah dan pelepasan asap dari premis industri; dan
d) Pemantauan melalui udara (aerial surveillance) dilaksanakan bagi mencegah kebakaran hutan terutama di kawasan sering terbakar dan kawasan pedalaman yang berisiko tinggi berlaku kebakaran.
Di peringkat serantau, Malaysia telah menghadiri Mesyuarat Ke-18 "ASEAN Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution" yang telah berlangsung di Singapura pada 4 Mei 2016. Malaysia berserta negara-negara sub-serantau lain iaitu
Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand mengulangi komitmen untuk terus mempertingkatkan kerjasama serantau bagi mencegah jerebu merentas sempadan. Ini termasuk kerjasama bilateral Malaysia dan Indonesia secara "Government-to-Government" di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan.
Sekian, terima kasih