Tuan Yang di-Pertua,
Bagi mengenal pasti potensi berlakunya banjir, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membangunkan stesen-stesen pemantauan aras air dan hujan bertelemetri di seluruh negara. Stesen-stesen pemantauan ini akan mencerap kuantiti hujan dan aras air semasa, seterusnya maklumat tersebut akan dihantar serta merta ke pangkalan data berpusat di Ibu Pejabat JPS.
Sehingga kini, sebanyak 443 stesen hujan dan 332 stesen aras air telah dibina di seluruh negara dan bilangan stesen tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Maklumat hujan dan aras air yang diterima akan disalurkan ke laman web Infobanjir dan Publicinfobanjir untuk tatapan umum yang mana maklumat tersebut akan dikemaskini setiap 15 minit. JPS juga telah membangunkan satu laman web baru untuk memberikan ramalan banjir kepada penduduk di lembangan Sungai Muar. Orang ramai boleh melayari laman web forecastmuar.water.gov.my untuk mendapatkan maklumat ramalan banjir yang terkini. Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi ramalan banjir sungai Muar melalui NaFFWS Sungai Muar.
Bagi memperluaskan ramalan dan amaran banjir di kawasan lain, Kerajaan telah meluluskan peraksanaan Program Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRAB) yang mana model ramalan banjir dan aplikasi hebahan akan dibangunkan di seluruh negara. 3
Melalui PRAB, maklumat aras air semasa, hujan dan maklumat ramalan banjir ini juga akan disalurkan ke agensi-agensi berkepentingan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara untuk tindakan awal selaras dengan Peraturan Tetap Operasi Bencana Banjir. Pada masa yang sama, JPS juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk meningkatkan keberkesanan hebahan amaran banjir.
Sekian, terima kasih.