Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

13 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

83

Soalan

Laksamana Tan Sri Dato' Sri Mohd Anwar bin Haji Mohd Nor minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan fenomena perubahan cuaca secara mendadak mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini. Musibah seperti ini membawa kesukaran kepada rakyat. Adakah negara selesa dengan rancangan semasa untuk berhadapan dengan keadaan sebegini. 

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Mengikut laporan-laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) fenomena pemanasan global telah mempengaruhi iklim sesuatu tempat dengan menyebabkan berlakunya perubahan corak iklim di tempat-tempat tersebut. Memandangkan bahawa cuaca adalah satu penggabungan kejadian dalam atmosfera di sesuatu lokasi pada setiap masa, manakala Iklim pula adalah penggabungan corak cuaca yang dialami sepanjang satu jangka masa panjang di sesuatu lokasi itu, maka perubahan iklim adalah berkait rapat dengan perubahan cuaca.

Pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang terkumpul di atmosfera sejak zaman revolusi perindustrian mengakibatkan fenomena pemanasan global. Dalam masa yang sama kenaikan suhu atmosfera di paras rendah boleh menyebabkan peningkatan proses penyejatan di atas permukaan bumi terutama sekali di kawasan lautan. Penggabungan fenomena pemanasan global dengan faktor-faktor lain mempengaruhi corak kitaran dan edaran atmosfera. Perubahan interaksi atmosfera dengan lautan boleh menyebabkan perubahan kepada ciri-ciri pembentukan awan hujan dan monsun dan seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrim di kawasan-kawasan tertentu.

Dalam konteks negara ini, antara kemungkinan yang boleh berlaku akibat perubahan ciri-ciri pembentukan awan hujan dan monsun ialah perubahan corak kejadian hujan di kawasan-kawasan yang dipengaruhinya. Kejadian hujan boleh berubah menjadi lebih tidak menentu seperti kemungkinan berlakunya episod ribut petir dan hujan yang lebih ekstrim di kawasan-kawasan tertentu dalam Negara. Ini secara langsung menyumbang kepada kejadian bencana alam seperti banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kementerian ini juga menerusi agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan program Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengelakkan kejadian banjir di Malaysia. Dalam masa yang sama, kajian dan penyelidikan berkaitan sumber air dan bencana alam sedang dilaksanakan oleh agensi seperti Pusat Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) dan universiti tempatan bagi memastikan dasar berkaitan pengurusan sumber air dan pengurusan bencana alam adalah selari dengan matlamat pembangunan Negara.

Sekiranya kejadian bencana alam seperti banjir kilat berlaku sehingga tahap yang bahaya, perkara ini akan ditangani oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Perdana Menteri yang merupakan agensi peneraju utama bagi pengurusan bencana Negara. NADMA bertanggungjawab menyelaras pengurusan dan pelaksanaan dasar dan mekanisme pengurusan Bencana Negara supaya dipatuhi dan dilaksanakan di setiap peringkat pengurusan bencana (pusat, negeri dan daerah).

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah sedia maklum berhubung fenomena perubahan cuaca secara mendadak mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini dan Kementerian sentiasa berusaha bagi mengelak perkara ini berlaku.

Tindakan Yang Telah Dilaksanakan

Dalam usaha kerajaan menangani masalah banjir kilat di seluruh negara, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Kajian Komprehensif Penyelesaian Jangka Panjang Memerangi Banjir Kilat 2013.

 

Tindakan Yang Boleh Dilaksanakan

1.       Berdasarkan Kajian Komprehensif Penyelesaian Jangka Panjang Banjir Kilat 2013 yang telah disediakan oleh JPS, penyelesaian jangka masa pendek dan panjang adalah seperti berikut;
 a)       Penyelesaian Jangka Pendek

Melaksanakan projek secara quick-win bagi menangani banjir kilat dengan mengambil kira faktor:

        i) Kebanyakannya melibatkan penyelesaian secara struktur yang lazimnya tidak terlalu kompleks dan bukan kategori projek mega.

         ii)      Berkemungkinan berlainan lokasi keutamaan (tidak    sebagaimana yang dicadang dalam Kajian Pelan Induk Saliran), dan

          iii)    Berdasarkan impak sosial dan politik.

b)       Penyelesaian Jangka Panjang

Bagi strategi jangka panjang, dua (2) pendekatan digunakan seperti berikut;

  1. Melaksanakan pendekatan secara struktur seperti pembinaan infrastruktur kawalan.
     
  2. Melaksana "soft approach" melibatkan "stakeholders" seperti Public Outreach Program.

2.       Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar  juga melalui JPS sentiasa menasihati dan menekankan kepada semua pihak sama ada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam menguatkuasakan pematuhan pelaksanaan garis panduan MSMA yang telah dikeluarkan termasuk ulasan-ulasan lain yang diberkaitan. 
 

3.       Penyelenggaraan sistem saliran yang efektif dan berjadual.

 4.       Pihak Pemaju juga perlu dipertanggungjawabkan dalam pengurusan aliran air ribut dengan pematuhan apa-apa syarat yang telah ditetapkan oleh PBT. Pemaju adalah disaran untuk mengambil tanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur saliran dalam projek-projek yang dijalankan seperti syor dalam kajian pelan induk saliran mesra alam secara menyeluruh.

 5.       Tindakan lain ialah Kementerian melalui JPS akan menasihati/ mengesyorkan sebarang pembangunan baru di kawasan mudah banjir perlu ditangguhkan sehingga masalah banjir di kawasan terlibat dapat diatasi terlebih dahulu melalui kaedah terbaik kerana pembangunan baru akan menambahburukkan lagi keadaan banjir yang sering berlaku. 

 6.       Dalam Pengurusan Air Ribut (Storm Water Management) di Malaysia, adalah amat ditekankan, pembangunan baru perlu mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang ditentukan melalui garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) dengan sepenuhnya dan dipantau dengan rapi melalui kerjasama PBT, JPS dan pihak-pihak lain yang berkaitan.

Sekian, terima kasih.

 

Attachments