Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

14 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

58

Soalan

Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah perkembangan terkini mengenai usaha yang dilakukan berikutan pencemaran air sungai akibat aktiviti pertanian di Cameron Highlands seperti yang dilaporkan oleh para penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada bulan Mac tahun 2015.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pengawasan kualiti air sungai bagi mengesan kehadiran sisa pestisid di beberapa batang sungai di kawasan Cameron Highlands telah dijalankan sejak tahun 2013 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui tiga stesen yang terletak di hulu takat pengambilan air di Sungai Bertam, Sungai Terla dan Sungai Ulong. Kekerapan persampelan kualiti air sungai dijalankan sebanyak 2 kali setahun. Berdasarkan sampel air sungai yang diambil pada bulan November 2015, didapati bahawa semua kepekatan parameter pestisid yang diuji adalah tidak melebihi had Kelas II, National Water Quality Standard for Malaysia (NWQSM).

Antara usaha yang telah dilakukan oleh JAS adalah melalui pelaksanaan program pengawasan kualiti air sungai di Lembangan Bertam dengan kekerapan sebulan sekali. Pada tahun ini, persampelan kualiti air sungai juga telah ditambahbaik dengan menjalankan persampelan pada waktu hujan bagi melihat kesan pencemaran non-point sources khususnya pestisid dan baja akibat daripada aktiviti pertanian di Sungai Terla dan Sungai Bertam.

JAS juga telah memberi taklimat khusus mengenai kesan hakisan tanah dan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pekebun, pemaju projek dan orang awam melalui program kesedaran bersempena dengan

Hari Bersama Pelanggan (Hari Bersama Pencinta Alam) yang dilaksanakan setiap minggu ke-2 dan ke-4 pada setiap bulan.

Selain itu, para pekebun juga telah diberi pendedahan berkenaan pengurusan bekas-bekas racun makhluk perosak yang boleh dikitar semula dengan dibilas sebanyak 3 kali sebelum digunakan semula. Ianya tidak akan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Pemakluman dan program pendidikan kepada petani mengenai perkara ini adalah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pertanian.

Selain itu, JAS juga terlibat sebagai salah satu agensi dalam Operasi Gading yang diterajui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang kini masih giat menjalankan operasi pencegahan penerokaan tanah haram.

Ingin dimaklumkan bahawa kawalan penggunaan racun-racun makhluk perosak dan pemantauan kualiti air minuman adalah di luar bidangkuasa Kementerian ini.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Residu racun perosak yang disebut di dalam laporan tersebut iaitu aldrin, DDT dan endosulfan ialah racun perosak dalam kumpulan organoklorin (OP) yang telah pun diharamkan penggunaannya di sektor kesihatan awam oleh Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) masing-masing pada tahun 1994, 1999 dan 2005. Selain itu, penggunaan dieldrin, heptachlor, chlordane dan lindane juga telah diharamkan masing-masing

pada tahun 1989, 1994, 1996 dan 2001. Walau bagaimanapun, racun kumpulan organoklorin ini akan tetap berada di pelbagai kompartmen alam sekitar hasil penggunaan lampau. Dalam kebanyakan keadaan, paras yang ditemui adalah tersangat rendah dan pada dasarnya tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan orang ramai.

Penemuan residu racun perosak dalam kumpulan organoklorin di atas dalam kuantiti yang kecil ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain termasuk di negara maju akibat penggunaan lampau.

Berdasarkan kepada penguatkuasaan yang melibatkan pemeriksaan premis jualan dan lawatan ladang yang telah dijalankan di Cameron Highlands oleh Unit Penguatkuasaan, Bahagian Kawalan Racun Perosak, Jabatan Pertanian tidak menemui sebarang penjualan dan penggunaan racun perosak organoklorin. Jabatan Pertanian amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi memberi maklumat, tentang penjualan dan penggunaan racun perosak haram yang dimaksudkan, sekiranya ada.

Sekian. Terima kasih.

Attachments