Tuan Yang di-Pertua,
Buangan elektronik dan elektrikal (e-waste) yang dijana di Malaysia adalah dari dua (2) sumber/punca yang utama iaitu dari premis-premis industri dan isi rumah. Pada masa ini, pengurusan dan kawalan ke atas e-waste ini adalah dibawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang telah dikuatkuasakan mulai 15 Ogos 2005. Menurut Peraturan ini, e-Waste boleh didefinisikan sebagai peralatan elektronik dan elektrikal yang telah luput dan ianya adalah salah satu daripada berbagai jenis buangan terjadual dengan kod SW 110. Walau bagaimanapun, perundangan dan mekanisma kawalan sedia ada hanyalah untuk mengawal e-waste yang dijana dari premis-premis industri sahaja, buat masa ini masih belum terdapat sistem yang formal untuk mengawal pembuangan e-waste yang dijana dari isi rumah. E-waste yang dijana dari isi rumah pada masa kini hanyalah dikendalikan oleh sektor-sektor informal seperti pengumpul barang-barang lusuh dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Pengendalian E-waste secara tidak terkawal boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Ini adalah kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan logam berat yang sangat berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen, penebat api (fire retardant) dan sebagainya yang boleh mengeluarkan dioksin apabila terbakar. Walau bagaimanapun, e-waste juga merupakan satu sumber yang berharga jika buangan ini diurus dengan baik, ini adalah kerana didalam e-waste terdapat juga bahan-bahan bernilai seperti emas, perak dan lain-lain.
E-waste jika dileraikan atau dikitar semula dengan cara yang tidak wajar boleh membahayakan kesihatan manusia dan alam sekitar. Oleh yang demikian, satu sistem yang sesuai perlu diwujudkan agar bahan berbahaya yang terdapat dalam e-waste dapat dirawat sewajarnya sebelum ianya dilepaskan ke alam sekitar.
Kerajaan Malaysia memandang serius dalam memastikan e-waste diuruskan secara selamat dan berkesan di negara ini supaya tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan rakyat. Dengan itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jabatan Alam Sekitar dengan bantuan dari Kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) telah mengadakan projek kerjasama teknikal selama 3 tahun yang bermula pada Ogos 2015 untuk membantu Jabatan Alam Sekitar membangunkan satu sistem dan mekanisma yang sesuai dan berkesan bagi pengurusan e-waste dari isi rumah di Malaysia.
Salah satu komponen di bawah projek kerjasama teknikal ini adalah projek perintis yang akan dijalankan bagi menguji keberkesanan sistem manifest yang akan dibangunkan. Sistem ini adalah penting untuk mengesan pergerakan e-waste dari isi rumah sehinggalah ianya dirawat dan dilupuskan di kemudahan yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Sistem ini juga dapat memastikan buangan tersebut tidak dihantar atau dikutip serta dirawat oleh sektor-sektor informal.
Selain daripada komponen projek perintis yang akan dilaksanakan di bawah projek kerjasama teknikal ini, lain-lain output yang telah dikenalpasti untuk memantapkan pelaksanaan sistem yang akan dibangunkan kelak ialah seperti berikut:-
a) Menyediakan dan membangunkan Garispanduan yang
berkaitan dengan pengurusan e-waste dari isi rumah:-
i. Household E-waste Collection Guideline
ii. Household E-waste Recycling Guideline
iii. Household E-waste Fee Structure Guideline
iv. Household E-waste Reporting Guideline
v. Household E-waste Fund Management Board Guideline
b) Penyediaan Program-program kesedaran dan latihan (Capacity Building Program) kepada semua pihak yang berkepentingan, dan
c) Menyediakan bahan-bahan/modul pembelajaran dan latihan kepada Kakitangan JAS mahupun pihak industri.
Adalah diharapkan sistem yang akan dibangunkan kelak membolehkan e-waste dari isi rumah dapat diurus secara holistik dan mesra alam di negara ini.
Sekian. Terima kasih.