Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

15 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

3

Soalan

Tuan Haji Abdul Shukor bin Mohd Sultan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah memulihkan kawasan empangan yang kritikal ekoran fenomena El Nino dan dalam masa yang sama mampu melindungi alam sekitar dan tidak terdedah kepada beban kewangan yang tinggi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Fenomena El Nino yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan takungan air di empangan-empangan sehingga ada yang mencecah tahap kritikal. Dalam hal ini, terdapat 101 buah empangan di mana 16 daripadanya adalah di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Berdasarkan empangan yang kritikal iaitu Empangan Timah Tasoh, Beris, Muda dan Pedu terlibat dengan operasi pembenihan awan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bermula pada 16 April 2016.

Berdasarkan operasi pembenihan awan oleh MetMalaysia, aras Empangan Timah Tasoh telah meningkat sebanyak 0.5 meter dan telah menghentikan catuan air pada 22 Mei 2016. Aras Empangan Bukit Merah telah meningkat sebanyak 1.5 meter dan telah terkeluar daripada senarai empangan kritikal pada 14 Mei 2016. Manakala empangan-empangan kritikal yang lain masih diklasifikasikan sebagai kritikal tetapi mengalami trend takungan meningkat kerana hujan yang diterima bagi tempoh 3 bulan masih mengalami defisit 52%.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi oleh MetMalaysia iaitu :

1) Bergantung kepada kelembapan atmosfera (Awan); dan

2) Kelajuan angin. 3

Dua faktor ini adalah penting semasa operasi pembenihan awan bagi memastikan hujan turun di kawasan takungan.

Bagi langkah jangka masa panjang, Kementerian ini sedang menaiktaraf dua empangan melalui RMKe-11. Kementerian ini juga sedang membangunkan satu sistem mengoptimumkan pengagihan sumber air dan kebolehdapatan sumber air terutama pada musim kemarau yang dinamakan program (dengan izin) National Water Balance Management System (NAWABS). Program printis ini akan dilaksanakan untuk enam (6) lembangan sungai iaitu Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Bernam, Sungai Kelang, Sungai Melaka dan Sungai Kelantan

Disamping itu, Kementerian bercadang untuk membentangkan Rang Undang-Undang Sumber Air Negara yang antara lain dapat melindungi kawasan tadahan air daripada termusnah oleh aktiviti pembangunan, pembalakan dan sebagainya, seterusnya mengekalkan sumber air di empangan.

Sekian terima kasih.

Attachments