JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar melalui beberapa Jabatan sebagai agensi pelaksana telah dipertanggung jawab untuk mengambil tindakan dalam mengatasi masalah pencemaran sungai.
Jabatan Alam Sekitar yang menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang telah digubal bagi mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan membaiki alam sekeliling, berperanan dalam mengawal pencemaran dari pelepasan efluen premis-premis yang tertakluk di bawah Akta berkenaan seperti industri pembuatan, industri berasaskan pertanian (getah dan kelapa sawit), loji-loji kumbahan, tapak pelupusan sisa pepejal dan pengurusan buangan terjadual serta projek-projek pembangunan yang berpotensi mencemarkan sungai. Tindakan penguatkuasaan akan diambil bagi sebarang ketidakpatuhan terhadap peruntukan perundangan yang berkaitan terutamanya ke atas pelepasan efluen dan kumbahan yang tidak mematuhi had pelepasan yang dibenarkan yang akan mencemarkan sungai.
Pewartaan Kawasan Hutan Simpan dan kawalan dari pencerobohan oleh Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) pula akan mengawal pencemaran sungai akibat hakisan tanah dan longokkan sampah disebabkan kerja pembalakan dan pencerobohan hutan serta pembukaan tanah secara haram untuk pertanian.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) serta Pelan Kawalan Hakisan Dan Kelodak (ESCP) akan terus 3
memantau agar kerja pembukaan tanah dalam sektor pembinaan tidak akan menyebabkan banjir lumpur di kawasan sekitar dan akhirnya mencemarkan sungai. Pematuhan syarat ESCP ini juga akan diperluaskan ke sektor pertanian supaya kerja pembersihan ladang tanaman komoditi juga perlu mengambil langkah-langkah Kawalan Hakisan dan Kelodak dalam memastikan kualiti air akan terus terpelihara.
Langkah-langkah tersebut akan diperkukuhkan lagi dengan pengubalan Rang Undang Undang Sumber Air Negara yang akan dapat mengawal sumber air dengan lebih berkesan termasuk kualiti dan kuantiti demi kesejahteraan rakyat dan negara.
Walau bagaimanapun, pihak Kementerian ingin menegaskan bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar terutamanya pencemaran sungai, adalah tanggungjawab semua pihak kerana tidak semua punca pencemaran adalah di bawah kawalan Kementerian ini dan agensi-agensi di bawahnya. Jadi sewajarnya agar semua pihak mengambil tindakan proaktif bagi mengawal pencemaran dari punca-punca tertakluk dalam bidangkuasa masing-masing.
Sekian, terima kasih.