Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

8

Soalan

YB. SENATOR TUAN ISA BIN AB. HAMID minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejak kebelakangan ini kawasan hutan simpan dan kawasan Orang Asli menjadi mangsa penerokaan pembalakan menyebabkan sumber bekalan air bersih sering terjejas. Apakah langkah-langkah bagi mengatasi masalah ini.

Jawapan

JAWAPAN

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan hutan di Malaysia adalah berpandukan kepada amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management). Pelaksanaan pengurusan ini hanya dilaksanakan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Keluasan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung Malaysia adalah seluas lebih kurang 4.93 juta hektar dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan. Aktiviti pembalakan dalam Hutan Simpanan Kekal hanya dibenarkan dalam kawasan Hutan Pengeluaran seluas lebih kurang 3 juta hektar (iaitu 61 peratus daripada keluasan kawasan Hutan Simpanan Kekal). Aktiviti pembalakan ini dilaksanakan secara sah melalui lesen pengusahasilan hutan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembalakan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dilaksanakan mengikut amalan Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System – SMS). Melalui sistem ini, pengeluaran pokok dikawal berdasarkan kriteria-kriteria tertentu iaitu penentuan had batas tebangan iaitu had batas minima yang boleh dikeluarkan ialah pokok berdiameter 55 sentimeter bagi spesies bukan dipterokarpa dan 65 sentimeter bagi spesies dipterokarpa. 3

Selain itu, aktiviti pembalakan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dikawal melalui penetapan Catuan Tebangan Tahunan yang diluluskan dan dipantau oleh Majlis Tanah Negara.

Pada masa ini tiada kawasan rizab orang asli yang telah diwartakan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal. Walau bagaimanapun, memang terdapat kawasan rizab orang asli terletak berhampiran dengan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan mereka menggunakan kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai kawasan rayau bagi tujuan sosioekonomi mereka. Terdapat juga kawasan Hutan Simpanan Kekal yang digunakan sebagai sumber bekalan air kepada penempatan orang asli dan pihak Jabatan Perhutanan mengambil berat bagi memastikan agar tiada aktiviti-aktiviti dilakukan yang memberi kesan negatif di sekitar kawasan tersebut.

Di samping itu, pihak Jabatan Perhutanan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mewartakan seluas 734,731 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal sebagai kawasan Hutan Tadahan Air. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam proses menggubal Dasar Sumber Air Negara bagi menjamin kelestarian sumber air supaya negara mempunyai bekalan air yang mencukupi dan selamat.

Langkah-langkah bagi mengatasi isu-isu yang melibatkan masyarakat orang asli dalam aktiviti pembalakan, antaranya ialah:

(i) pelaksanaan pensijilan pengurusan hutan yang menekankan kepentingan hak masyarakat peribumi dan impak alam sekitar;

(ii) penambahbaikan sistem pengurusan hutan dari semasa ke semasa seperti pengawalan pengeluaran isi padu hutan dan peningkatan had batas tebangan minima;

4

(iii) pelaksanaan garis panduan pembinaan jalan hutan; dan

(iv) dialog bersama dengan masyarakat orang asli.

Sekian, terima kasih.

Attachments