Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

16 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

16

Soalan

​YBM Engku Naimah Bt Engku Taib minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejauh manakah masalah jerebu yang dijangka melanda negara ini mulai bulan Jun hingga Oktober 2016 dan apakah langkah Kerajaan bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Masalah jerebu merentas sempadan daripada negara jiran, Indonesia sering berlaku apabila tibanya musim Monsun Barat Daya iaitu dari bulan Jun hingga September setiap tahun. Sepanjang tempoh tersebut, pergerakan angin daripada Sumatera dan Kalimantan, Indonesia akan menghala ke Malaysia dan membawa asap jerebu akibat daripada kebakaran tanah dan hutan gambut. Sejauh mana masalah jerebu ini akan berlaku pada tahun ini adalah bergantung sama ada kebakaran di negara jiran berlaku atau tidak dan skala kebakaran. Walau bagaimanapun, Kerajaan melalui pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu telah bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan akan mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu kebangsaan sekiranya diperlukan.

Yang terkini di peringkat serantau, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada ASEAN Workshop on the Operationalisation of Alert Levels and Trigger Points for Fire Prevention and Suppression yang telah diadakan pada 23 hingga 24 Mei 2016. Penganjuran bengkel ini telah mendapat persetujuan Menteri-Menteri Alam Sekitar negara anggota ASEAN semasa Mesyuarat Kesebelas "Conference of the Parties (COP-11) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution" yang telah diadakan di Hanoi, Viet Nam pada 29 Oktober 2015 dan telah mendapat sokongan kewangan daripada ASEAN Haze Fund.

 

Bengkel ini adalah bertujuan untuk bertukar maklumat semasa mengenai persediaan dan tindakan-tindakan oleh negara-negara ASEAN bagi menangani masalah jerebu dengan memberi penekanan kepada sistem amaran awal jerebu (haze early warning system) dan tindakan segera pemadaman (expeditious fire suppression) agar jerebu merentas sempadan tidak berlaku. Selain itu, Kerajaan melalui pelbagai agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu telah bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan jerebu berlaku dan akan mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu kebangsaan sekiranya diperlukan.

Sekian, terima kasih.

Attachments