Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

20 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

63

Soalan

YB SENATOR DATUK CHIN SU PHIN minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah yang lebih tegas dalam usaha memerangi sindiket penyeludupan haiwan eksotik di negara kita dan jumlah kes yang terlibat bagi 10 tahun kebelakangan ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Permintaan yang meningkat ke atas hidupan liar sama ada untuk tujuan makanan, perubatan tradisional mahupun haiwan perliharaan menyumbang kepada peningkatan perdagangan haram dan penyeludupan hidupan liar. Modus operandi penyeludupan hidupan liar yang bertambah kompleks dan sentiasa berubah memberi cabaran kepada penguatkuasa dalam memerangi penyeludupan ini . Sehubungan itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah dan sedang menjalankan usaha-usaha terkini dalam memerangi sindiket penyeludupan hidupan liar di negara kita. Antara langkah yang lebih tegas dalam memerangi sindiket penyeludupan hidupan liar adalah:

a) mewartakan 23 seksyen di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan 5 seksyen di dalam Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686] sebagai satu kesalahan yang boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613];

b) memperkasa Wildlife Crime Unit (WCU) yang bertindak sebagai flying squad dalam mengambil tindakan penguatkuasaan berkaitan jenayah hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia melalui penubuhan Unit


Perisikan dalam menyokong maklumat dan tindakan tepat penguatkuasaan menangani penyeludupan hidupan liar;

c) menubuh dan membangunkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (National Wildlife Forensic Lab, NWFL) yang berfungsi sebagai makmal dalam menerima, mengumpul, mengkatalog, memproses dan menganalisa pelbagai jenis sampel genetik hidupan liar. Pengkalan data Deoxyribonucleic acid (DNA) hidupan liar yang diperolehi ini turut digunakan bagi menyokong tindakan penguatkuasaan terutamanya dalam pembuktian kes-kes jenayah hidupan liar yang didakwa di mahkamah;

d) memperkukuh kerjasama penguatkuasaan di antara agensi penguatkuasa seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terutamanya di pintu masuk dan keluar negara seperti di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan darat Malaysia;


e) di peringkat serantau, Jabatan PERHILITAN turut menjalankan usaha membanteras jenayah hidupan liar rentas sempadan ini dengan menyertai operasi-operasi yang dijalankan di peringkat antarabangsa melalui ASEAN Wildlife Enforcement Network (ASEAN-WEN) dan INTERPOL; dan

f) Jabatan PERHILITAN juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), The Wildlife Trade Monitoring Network (TRAFFIC), World Wildlife Fund (WWF), Malaysia Nature Society (MNS), Wildlife Conservation Society (WCS) dan lain-lain NGO yang aktif dalam konservasi hidupan liar melalui penyaluran maklumat dan program kesedaran awam di dalam mendidik masyarakat berkaitan kepentingan konservasi hidupan liar.

Tuan Yang di-Pertua,


Sepanjang tahun 2005 sehingga 2015, Jabatan PERHILITAN telah berjaya menumpaskan sebanyak 571 kes yang melibatkan penyeludupan hidupan liar. Antara spesies yang sering diseludup melibatkan spesies seperti berikut:


a) tenggiling;
b) burung seperti kelicap kunyit dan burung murai batu;
c) penyu dan kura-kura;
d) ular sawa dan ular boa; dan
e) biawak tikus.


Justeru, Kementerian ini ingin memohon jasa baik Yang Berhormat sekalian untuk bersama-sama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan PERHILITAN dalam membantu menyebarkan maklumat berhubung salah laku dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar dalam seterusnya


meningkatkan kesedaran awam berkaitan penyeludupan haram hidupan liar di kalangan orang awam.


Sekian, terima kasih.

Attachments