Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

21 June 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

JUPEM

Nombor Soalan

80

Soalan

Puan Shahanim binti Mohamad Yusoff minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan status terkini rekod pemetaan persempadanan maritim antara negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan persempadanan Zon Ekonomi Eksklusif serta Sempadan Laut Antarabangsa agar data persempadanan maritim ini digunakan secara efektif oleh pelaut dan pihak berkepentingan negeri.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) pada ketika ini hanya mempunyai rekod mengenai sempadan maritim bagi negeri-negeri berikut:


i) Negeri Perlis-Kedah;
ii) Pahang-Johor;
iii) Wilayah Persekutuan Labuan;
iv) Sabah; dan
v) Sarawak.


Menyedari hakikat ini, JUPEM telah menyedia dan mengedarkan Peta Cadangan Sempadan Maritim Antara Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Penandaan dan Pengukuran Sempadan Bersama Negeri-negeri (JKPPSBN) yang telah diadakan buat pertama kalinya pada 7 Julai 2009 di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Putrajaya bagi mendapatkan persetujuan pihak berkuasa negeri. Namun begitu peta cadangan ini masih belum dimuktamadkan oleh negeri-negeri walaupun telah beberapa kali dibentangkan.

Berkaitan dengan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, ianya merupakan suatu kawasan perairan negara yang melampaui sehingga dua ratus batu nautika daripada garis pangkal. Sempadan ZEE negara adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa yang diperuntukkan di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982. Oleh kerana Peta Baru Malaysia 1979 diterbitkan lebih awal, kedudukan ZEE Malaysia tidak ditunjukkan secara spesifik di dalamnya. Namun begitu, dengan mengambilkira peruntukan UNCLOS 1982, Malaysia telah mengisytiharkan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 (Akta 311) yang mana ianya telah digunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Negara.

 

Bagi sempadan laut atau sempadan maritim antarabangsa Malaysia pula, ianya telah dizahirkan melalui penerbitan Peta Baru Malaysia 1979 yang telah diisytiharkan melalui Warta Kerajaan No. 5745 pada 21 Disember 1979, susulan daripada keputusan Jemaah Menteri pada 30 Mac 1977. Sebahagian daripada sempadan maritim tersebut adalah berdasarkan perjanjian, triti serta memorandum persefahaman sedia ada dan sebahagian lagi adalah berdasarkan tuntutan sepihak (unilateral claim) Malaysia. Tuntutan sepihak Malaysia adalah berdasarkan undang-undang laut antarabangsa dengan menggunakan prinsip-prinsip penentuan sempadan maritim yang ditetapkan di dalam undang-undang tersebut. Peta Baru Malaysia 1979 menunjukkan sempadan perairan laut wilayah dan sempadan pelantar benua Malaysia. Peta ini digunakan dan menjadi panduan serta rujukan oleh Jabatan dan agensi seperti Majlis Keselamatan

Negara (MKN), Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Perikanan dan lain-lain bagi tujuan kerja-kerja penguatkuasaan dan pentadbiran untuk memastikan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan Negara sentiasa terpelihara.


Sekian, terima kasih.

Attachments