Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

54

Soalan

Dato' Haji Mohd Suhaimi bin Abdullah minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah usaha untuk mengadakan telaga tiub bagi menampung keperluan air bersih semasa musim kemarau dan banjir dikawasan-kawasan yang terjejas.   

Jawapan

 

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sememangnya telah mengenalpasti bahawa sumber air tanah mempunyai potensi untuk digunakan sebagai sumber bekalan air yang berterusan di kawasan terpencil dan kawasan-kawasan bermasalah bekalan air seperti di kawasan pedalaman, kawasan tiada bekalan air terawat, kawasan sering mengalami gangguan bekalan air dan penempatan baru. Sumber ini boleh dibangun di kawasan-kawasan tersebut dengan kos yang rendah berbanding sumber air permukaan. Justeru itu, Pihak NRE melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mengambil langkah-langkah untuk mengekstrak sumber air tanah melalui telaga tiub.

Pada masa ini peruntukan untuk mendapatkan sumber air tanah adalah menerusi projek pembangunan RMKe-11 di bawah Pembangunan Sumber Air Tanah Di Kawasan-Kawasan Bermasalah Bekalan yang diperuntukkan dengan kos projek sebanyak RM41 juta. Pembangunan sumber air tanah ini akan dilaksanakan di 13 buah negeri dimana 200 telaga tuib air tanah akan dibina dalam masa 5 tahun (2016-2020). Dalam tahun 2016, sebanyak 40 telaga tiub akan dibina.

Selain itu, melalui peruntukkan di bawah RMKe-11 juga, sejumlah RM27 juta telah diperuntukkan kepada JMG bagi melaksanakan kajian di lima (5) lembangan sungai iaitu Lembangan Sg. Muda, Kedah; Lembangan Sg. Selangor, Selangor; Lembangan Sg. Pahang, Pahang; Lembangan Sg. Miri, Sarawak dan Lembangan Sg. Kedamaian-Tempasuk, Sabah. Melalui kajian ini, ciri-ciri akuifer dan rizab air tanah dapat ditentukan

dengan lebih tepat demi mengoptimumkan serta merancang pembangunan dan penggunaan air tanah di kawasan-kawasan berkenaan dengan lebih sistematik dan lestari.

Majlis Sumber Air Negara semasa mesyuarat pada 26 Mei 2016 juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM33 juta bagi membolehkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia melaksanakan pembekalan sumber air tanah sebagai air mentah secara berterusan di loji-loji rawatan air sedia ada yang menghadapi masalah sumber air semasa musim kemarau dalam masa terdekat. Sumber air tanah daripada sistem telaga tiub yang akan dibangunkan dirancang supaya boleh membekalkan air sekurang-kurangnya 45 meter padu sejam (satu juta liter/hari) kepada setiap loji rawatan air sedia ada. Berdasarkan purata penggunaan air sebanyak 210 liter sehari bagi seorang, kuantiti tersebut dianggar boleh dimanfaatkan oleh 5,000 orang .

Sekian, terima kasih.

 
Attachments