Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 October 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

34

Soalan

YB. LAKSAMANA PERTAMA MOHAMAD IMRAN BIN ABD HAMID (B) [LUMUT] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah tindakan Kementerian membaikpulih hutan-hutan simpan paya bakau persisiran pantai sepanjang Selat Melaka dalam Daerah Manjung yang banyak terjejas akibat dari penerokaan haram.

Jawapan

JAWAPAN:

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah melaksanakan ‘Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara’ sejak tahun 2005, selepas tragedi tsunami melanda negara. Program ini merupakan satu program nasional yang dilaksanakan secara bersepadu diseluruh negara dengan melibatkan penyertaan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negari, badan-badan bukan kerajaan, universiti dan masyarakat setempat.

Jumlah keseluruhan kawasan yang terlibat dengan program ini di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember 2015 ialah seluas 2,605.17 hektar dengan jumlah pokok yang ditanam adalah sebanyak 6.32 juta pokok. Antara spesies pokok yang ditanam termasuklah Bakau kurap, Bakau minyak, Api-api, Rhu pantai, Ketapang, Nipah, Nyireh dan Tembusu.

Hutan Paya Laut di Daerah Manjung, Perak yang berstatus Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah Hutan Simpan Tanjung Burung seluas 1,151.05 hektar. Selain itu, seluas 616.0 ha kawasan Tanah Kerajaan Mukim Lekir telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Lekir.

Daripada tahun 2005 hingga 2015 sejumlah 1,121,955 pokok telah ditanam oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak untuk tujuan pemuliharaan kawasan persisiran pantai melibatkan kawasan seluas 314.4 hektar di bawah

Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara.

Pada tahun 2016, JPN Perak telah menjalankan penanaman pokok dari spesies Rhu Pantai sebanyak 625 pokok di kawasan Tanah Kerajaan Mukim Lekir dengan keluasan 1.0 hektar. Kini pihak JPN Perak sedang dalam proses pelaksanaan melibatkan penanaman 200 pokok pesisiran pantai dari pelbagai spesies di kawasan yang sama.

Bagi memastikan kawasan hutan bakau tidak diceroboh, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia melaksanakan pemantauan secara berkala di kawasan hutan bakau termasuk kawasan yang terlibat dalam pelaksanaan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara ini. FRIM turut menjalankan penyelidikan bagi menjayakan program penanaman pokok bakau serta memantau kesan sosio-ekonomi dan ekologi program penanaman tersebut.

Usaha memelihara dan memulihara ekosistem kawasan pesisir pantai akan diteruskan di masa-masa akan datang dengan kerjasama semua pihak untuk kepentingan dan faedah generasi kini dan akan datang.

Sekian, terima kasih.

Attachments