Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 November 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

32

Soalan

Dato' Fauzi bin Abdul Rahman [ Indera Mahkota ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kementerian sedar bahawa sejak dihapuskan Jabatan Galian, lombong-lombong di Malaysia seolah-olah berjalan tanpa undang-undang. Ini menyebabkan, antara lain, air sungai dicemar, habuk dan debu berterbangan tanpa kawalan dan menkompromikan kesihatan dan keselamatan rakyat setempat. Contoh adalah lombong-lombong bauksit di persekitaran Kuantan dan Kemaman. Nyatakan langkah-langkah Kementerian untuk mengatasi masalah ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Adalah tidak benar dakwaan yang mengatakan Jabatan Galian telah dihapuskan. Sebaliknya, Jabatan Galian telah digabungkan dengan Jabatan Penyiasatan Kajibumi bagi membentuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada 1 Julai 1999. Penggabungan ini adalah bertujuan untuk menghapuskan pertindihan fungsi, mewujudkan perkhidmatan awam yang kejat (right sizing) dan membentuk sinergi berdasarkan sumber-sumber sedia ada.
Dengan pengabungan ini, tugas-tugas mengawal selia aktiviti perlombongan dan pengkuarian diteruskan oleh JMG melalui Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) dan Peraturan-peraturan yang berkaitan. Akta ini digubal hasil pengasingan kuasa di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan setelah kajian dibuat ke atas semua perundangan perlombongan yang terpakai di negeri-negeri sejak sebelum Merdeka. Aspek pengurusan tanah dan tenemen mineral yang terletakhak kepada Kerajaan Negeri dimasukkan di bawah Enakmen Mineral Negeri (EMN), manakala aspek keselamatan operasi perlombongan yang terletak hak kepada Kerajaan Persekutuan dimasukkan di bawah APM.
Justeru aktiviti penguatkuasaan JMG adalah terhad kepada operasi perlombongan di atas Pajakan Lombong dan Lesen Melombong Tuan Punya, manakala aktiviti perlombongan haram adalah di bawah bidang
kuasa Kerajaan Negeri sepertimana yang diperuntukkan di bawah EMN. Kedua-dua perundangan ini iaitu APM dan EMN adalah saling melengkapi antara satu sama lain dan dapat memantapkan langkah-langkah penguatkuasaan dan kawal selia aktiviti perlombongan mineral dan seterusnya dapat menangani isu pencemaran.
Sekian, terima kasih

Attachments