Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

16 November 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

1

Soalan

YB. DATO' HAJI AHMAD NAZLAN BIN IDRIS [ JERANTUT ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kementerian sedar terumbu karang adalah penting untuk pembiakan dan nurseri hidupan laut, tarikan pelancong dan sebagainya. Sehubungan itu, Kementerian menerangkan dengan lebih lanjut usaha-usaha dilaksanakan dalam memulihkan kawasan terumbu karang yang musnah akibat kelunturan karang dan kawasan yang musnah akibat aktiviti manusia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Usaha memulihara sumber asli dan alam sekitar merupakan agenda utama yang sentiasa diberi perhatian oleh pihak Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE). Bagi melindungi biodiversiti marin di negara kita, Kerajaan telah mewujudkan Jabatan Taman aut Malaysia (JTLM) pada tahun 2007 untuk mengurus, melindungi dan memulihara kawasan-kawasan perlindungan marin ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan antaranya menyediakan garis panduan, pelan pengurusan, program konservasi dan sebagainya untuk memastikan kekayaan sumber marin negara dilindungi dan terpelihara.
Mesyuarat pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN) yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 22 Oktober 2013 telah meluluskan Cadangan Projek Restorasi Karang di Pulau-Pulau Seluruh Negara yang dibentangkan oleh NRE. Projek Restorasi Karang di pulau-pulau seluruh Negara adalah sebahagian daripada usaha memulihara biodiversiti marin.
Projek Restorasi Karang ini bertujuan untuk membaik pulih kawasan terumbu karang yang menghadapi kerosakan. Pada masa ini, JTLM sedang giat mengambil tindakan bagi melaksanakan program tersebut. Sejak bermulanya projek ini, sebanyak 32,498 nubbin telah ditanam oleh JTLM di negeri yang mempunyai pulau Taman Laut dengan sejumlah keluasan 2.7 ekar. Laporan yang diterima menunjukkan karang ini membesar antara 0.4 cm – 1.4 cm sebulan.
Pihak JTLM juga telah mendapat peruntukan sebanyak RM 1.55juta bagi RMK-11 (2016-2020) bagi meneruskan projek ini dibawah skop ‘’Projek Restorasi dan Rehabilitasi Kawasan yang Mengalami Degradasi’’.
Selain itu, pihak JTLM turut menyediakan kemudahan seperti boya penambat, pontoon rehat dan sebagainya untuk mengurangkan kadar kerosakan terumbu karang akibat aktiviti pelancongan. Aktiviti penguatkuasaan juga dijalankan bagi mengawal pencerobohan di perairan kawasan Taman Laut dengan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985. Program CEPA (Communication, Education, Pulic Awareness) juga giat dijalankan oleh pihak Jabatan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan pemuliharaan biodiversiti marin.
Sekian, terima kasih.
Attachments