Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian suka menjelaskan di sini bahawa Projek Penambakan Pantai Teluk Muroh adalah projek di bawah pembiayaan dan kawal selia sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak.
Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Perak melalui kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri telah melantik perunding perancangan dan rekabentuk pembangunan. Kos projek berjumlah RM63.46 juta sejak tahun 2013 lagi melibatkan kerja penebusguna tanah di kawasan pantai seluas 17 hektar dan pembinaan 145 buah unit rumah berserta dengan kemudahan awam.
Projek tebusguna tanah pantai ini tidak termasuk di dalam aktiviti yang dikenakan penilaian EIA memandangkan saiz tebusguna tanah yang dibuat adalah seluas 17 hektar sahaja. Mengikut keperluan EIA yang dikeluarkan oleh JAS yang dikuatkuasakan sejak 1 April 1988 saiz penebusan tanah pantai yang dikenakan penyediaan Laporan EIA adalah yang bersaiz melebihi 50 hektar. Manakala Perintah Kualiti Alam Sekeliling 2015 yang dikuatkuasakan pada 5 Ogos 2015 tidak terpakai kerana projek ini telah dilaksanakan sebelum penguatkuasaan Perintah Kualiti Alam Sekeliling berkenaan.
Di samping itu, dalam usaha kerajaan Negeri menjaga kebajikan para nelayan pantai yang menghadapi kesulitan untuk mendaratkan bot-bot mereka semasa kerja-kerja tebusguna tanah sedang berjalan, maka satu jeti
sementara dibina bagi tujuan mengurangkan masalah para nelayan berkenaan.
Sekian, terima kasih.