Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

17 November 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

23

Soalan

YB. DATUK MOHD FASIAH BIN HAJI MOHD FAKEH [SABAK BERNAM] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan setakat manakah komitmen Kementerian bagi mengekalkan dan memelihara pokok paya bakau sebagai benteng penahan semula jadi selain benteng penahan air sedia ada sebagai langkah bagi menangani fenomena air pasang yang berlaku di negara ini dan menyebabkan banjir serta nyatakan adakah Kementerian bercadang untuk mempergiatkan lagi tanaman bakau di kawasan pinggir pantai sebagai benteng semula jadi dan ekosistem penting bagi mengurangkan kesan air pasang.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia telah melaksanakan Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara sejak tahun 2005, selepas tragedi tsunami melanda negara. Program ini merupakan satu program nasional yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negara dengan melibatkan penyertaan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, badan-badan bukan kerajaan, universiti dan masyarakat setempat.
Antara objektif pelaksanaan program ini ialah seperti berikut:
(i) memulihara pesisiran pantai sebagai lindungan semulajadi bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam dan hakisan tanah;
(ii) mewujudkan zon penampan bagi menahan kekuatan ombak dan angin kencang serta mencegah pencemaran alam sekitar;
(iii) memulihkan habitat pesisiran pantai yang menjadi koridor kepada kepelbagaian biologi serta memperkayakan sumber hasil pantai; dan
(iv) meningkatkan kualiti alam sekitar dan nilai estetika sebagai daya tarikan pelancong.
Sejak pelaksanaan program ini, peruntukan kewangan berjumlah RM46.54 juta telah dibelanjakan di bawah dua (2) tempoh Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Manakala, di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas bagi
siling tahun 2016, program ini telah menerima peruntukan kewangan berjumlah RM5.2 juta.
Daripada tahun 2005 sehingga 2015 kawasan seluas 2,605.17 ha telah ditanam dengan pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai berbanding sasaran sebanyak 2,150 ha. Bagi tahun 2016, sehingga Ogos 2016, kawasan seluas 66.51 ha telah ditanam dengan pokok bakau dan spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai berbanding sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 50 ha.
Usaha memelihara dan memulihara ekosistem kawasan pesisir pantai termasuk bagi mempergiatkan lagi tanaman bakau di kawasan pinggir pantai sebagai benteng semula jadi dan ekosistem penting bagi mengurangkan kesan air pasang akan diteruskan di masa-masa akan datang dengan kerjasama semua pihak untuk kepentingan dan faedah generasi kini dan akan datang.


Sekian, terima kasih.

Attachments