Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

22 November 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

19

Soalan

Dr. Noor Azmi bin Ghazali [ Bagan Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah perkembangan terkini mengenai kajian, kerjasama dan tindakan jiran-jiran negara kita dalam isu jerebu merentas sempadan yang sudah lama berulang-ulang terjadi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Di bawah semangat ASEAN, Malaysia sentiasa berunding, bekerjasama dan menggesa Kerajaan Negara ASEAN dan khususnya dengan Kerajaan Indonesia supaya mengambil tindakan yang lebih proaktif dan berkesan bagi menangani masalah jerebu sama ada melalui saluran rundingan dua hala atau sub-serantau atau menerusi Jawatankuasa Pemandu Menteri Alam Sekitar Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution) yang melibatkan lima (5) buah negara iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Menyingkap episod jerebu yang melanda negara pada bulan Ogos lalu, pihak Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan pro-aktif bagi mengatasi masalah ini, sama ada di peringkat tempatan dan serantau yang merangkumi perkara-perkara berikut iaitu:-
Tindakan Di Peringkat Tempatan
Mekanisma tindak balas (response mechanism) semasa berlakunya jerebu adalah mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. Pelan ini menggariskan tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat bagi menghadapi episod jerebu mengikut peringkat dan tahap berjaga-jaga dengan berpandukan bacaan IPU mengikut tempoh masa tertentu. Selaras dengan Pelan tersebut, tindakan-tindakan berikut telah diambil oleh agensi yang terlibat iaitu:-
(i) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengaktifkan Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan pada 29 Ogos 2016; dan
(ii) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengaktifkan Jawatankuasa Kerja Menangani Situasi Jerebu pada 19 Ogos 2016.
Tindakan Di Peringkat Serantau
1. Saya selaku Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengutus surat kepada Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia pada 22 Ogos 2016 untuk melahirkan kebimbangan Malaysia tentang isu jerebu rentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Melalui surat tersebut, gesaan juga telah dibuat supaya Kerajaan Indonesia mempertingkatkan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran bagi memberhentikan pencemaran jerebu merentasi sempadan terus berlaku.
2. YAB Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 1 Ogos 2016 di Jakarta, Indonesia. Kedua-dua Pemimpin antara lainnya telah bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dalam penyelesaian masalah jerebu merentas sempadan; dan
3. Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ke-12 Conference of the Parties (COP-12) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) pada 11 Ogos 2016 yang mana mesyuarat berkenaan telah diresmikan YAB Timbalan Perdana Menteri. Mesyuarat yang dianggotai oleh Menteri-Menteri
Alam Sekitar dari negara-negara ASEAN telah bersetuju dengan beberapa pelan tindakan untuk memastikan masalah jerebu merentas sempadan di rantau ini tidak berulang. Antara ketetapan penting yang persetujui ialah meluluskan Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation bagi mempastikan negara ASEAN- Bebas-Jerebu pada tahun 2020.
Selain itu, Kerajaan kini sedang dalam proses untuk menjalankan kerjasama serantau mengenai tindakan-tindakan pencegahan jerebu di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Di bawah Perjanjian ini, Kerajaan kita akan terus komited dan memberikan kerjasama terutamanya dalam bidang pembangunan keupayaan (capacity building), perkongsian maklumat dan kepakaran dalam aspek penguatkuasaan undang-undang pembakaran terbuka, teknologi perladangan tanpa pembakaran (zero burning), pengurusan tanah gambut yang mapan dan latihan pemadaman kebakaran.
Mengenai kajian jerebu serantau yang berlaku pada tahun lepas, Mesyuarat Ke-12 Conference of the Parties (COP-12) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (AATHP) pada 11 Ogos 2016 telah bersetuju supaya pelaksanaan kajian ini diselaraskan oleh Sekretariat ASEAN di mana kajian tersebut akan disempurnakan pada tahun 2017. Kajian jerebu serantau tersebut akan merangkumi kesan jerebu tahun 2015 ke atas sektor sosio-ekonomi dan kesihatan awam di negara-negara ASEAN yang menerima kesan jerebu teruk tersebut.


Sekian, terima kasih
Attachments