Tuan Yang di-Pertua,
Menyedari kepentingan pengelibatan pihak badan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta agensi-agensi Kerajaan lain dalam memastikan kelestarian alam sekitar, Kementerian bersama-sama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pihak-pihak tersebut dalam aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan antara lainnya melalui aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan hutan termasuk aktiviti penanaman pokok dan penganjuran program-program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) berkaitan dengan hutan. Pengelibatan semua pihak adalah penting dalam memberi kesedaran bahawa menghijau dan memelihara alam sekitar adalah merupakan tanggungjawab semua pihak serta memupuk minat menanam pokok dan mencintai alam sekitar kepada segenap lapisan masyarakat.
Bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), FRIM sebagai badan penyelidikan perhutanan utama negara telah mengadakan kerjasama dengan NGO, IPT, agensi-agensi Kerajaan dan juga pihak swasta dari dalam dan luar negara. Bentuk kerjasama yang dilaksanakan bersama-sama dengan pihak-pihak ini adalah dalam bentuk perjanjian persefahaman (MoU), perjanjian dan persetujuan bersama tanpa ikatan tapi dengan iltizam bagi kepentingan bersama dan negara. Antara aktiviti yang telah dilaksanakan bersama dengan pihak-pihak yang berkaitan adalah seperti berikut:
(i) Rakan kerjasama dan pelanggan: Kerjasama projek-projek R&D dan khidmat perundingan ke arah pemuliharaan biodiversiti, pengurusan hutan yang lestari yang turut menyentuh isu perubahan iklim, penghasilan sumber kayu dari ladang hutan dan pembangunan produk-produk mesra alam dari sumber hutan;
(ii) Pengusaha/syarikat swasta: Pemindahan teknologi kepada pengusaha-pengusaha yang berminat;
(iii) IPT tempatan dan luar negara: Projek R&D, kampus dan professor adjung, latihan industri, penganjuran kursus bersama, kepada kurikulum pembelajaran, projek awam dan swasta; dan
(iv) Orang awam, pelajar dan syarikat swasta: Aktiviti penanaman pokok di FRIM dan di sekolah-sekolah yang terpilih, program kesedaran;
Sekian, terima kasih.