Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

53

Soalan

YB DATO’ HASBULLAH BIN OSMAN (GERIK) minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan apakah langkah penyelesaian yang diambil oleh pihak Kementerian bagi mengatasi masalah ancaman gajah liar yang memusnahkan tanaman Orang Asli serta kawasan terlibat di samping membahayakan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengambil maklum berhubung dengan masalah gangguan hidupan liar seperti gajah liar yang dialami oleh penduduk Orang Asli yang berhampiran Jalan Raya Timur Barat. Menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), pelbagai tindakan telah diambil bagi menangani masalah ini seperti tangkap pindah, tembak halau dan pemasangan pagar elektrik.
Pada masa ini dianggarkan terdapat lebih kurang 40 ekor gajah liar daripada populasi Hutan Simpan Temenggor menjadikan kiri-kanan Jalan Raya Timur Barat sebagai habitat untuk mencari makanan. Gajah-gajah ini telah menimbulkan ancaman dan merosakkan tanaman di perkampungan Orang Asli RPS Banun, Pos Kemar serta sekitar kawasan Kampung Bersia, Kampung Perah dan Kampung Air Kapak di kawasan Parlimen Gerik. Populasi gajah ini juga seringkali berkeliaran dan melintasi Jalan Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli dan membahayakan pengguna jalan raya. Berdasarkan kepada rekod sejak 2013 hingga 2016, sebanyak 65 aduan gangguan gajah di kawasan Parlimen Gerik telah dilaporkan dan telah diambil tindakan oleh Jabatan PERHILITAN.
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, pihak Jabatan PERHILITAN juga telah berusaha untuk menyelesaikan dan mengurangkan konflik gajah ini melalui langkah-langkah jangka pendek dan sederhana seperti berikut:
a) Melaksanakan aktiviti seperti yang telah disenaraikan di dalam Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) yang dilancarkan pada tahun 2013 sebagai pendekatan yang lebih holistik. Pelan tindakan ini juga melibatkan kerjasama beberapa organisasi bukan kerajaan (NGO). Antara tindakan penyelesaian dalam Pelan ini adalah tangkap pindah, pembinaan pagar elektrik, pemantauan, program kesedaran awam dan penyelidikan;
b) Operasi tangkapan gajah juga telah dijalankan di kawasan Kg. Bersia dan kawasan sekitarnya. Rekod tahun 2013 hingga 2016, sejumlah 12 kali operasi tangkap pindah dan sebanyak 4 ekor gajah liar telah ditangkap dan dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum. Kos perbelanjaan keseluruhan operasi ini adalah lebih kurang RM 250,000.00;
c) Membina pagar elektrik sepanjang 11 km dengan kos keseluruhan sebanyak RM 431,080.00 pada tahun 2013 dan tambahan sepanjang 10 km di jajaran Kampung Bersia yang melibatkan kos sebanyak RM 500,000.00 serta kos penyelenggaran sebanyak RM 15,000.00 sebulan;
d) Jabatan juga mengadakan program kesedaran awam secara berkala dan program pemasangan pagar komuniti bersama penduduk kampung terlibat. Selain itu, sesi perbincangan bersama Ahli Parlimen Gerik pada September 2016 juga
dijalankan. Dalam program ini sesi kesedaran dan kefahaman telah diberikan yang meliputi sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat yang memberi tumpuan terhadap menyayangi hidupan liar dan kaedah pengurusan kebun yang betul terutamanya yang bersempadan dengan kawasan hutan; dan,
e) Menjalankan penyelidikan pergerakan gajah liar melalui pemasangan kolar satelit ke atas 14 ekor gajah;
Pihak Jabatan PERHILITAN juga telah berusaha untuk mengurangkan ancaman gajah kepada pengguna jalan raya melalui langkah-langkah seperti berikut;
a) Mewujudkan lintasan hidupan liar yang dikenali sebagai 'animals viaduct' di Kilometer 157, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli. Lintasan itu menghubungkan Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembinaan viaduct ini bertujuan untuk memberi laluan selamat kepada hidupan liar dan secara tidak langsung dapat memastikan pengguna jalan raya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
b) Menjalankan program pengkayaan habitat di sekitar kawasan ‘viaduct’ untuk menarik perhatian gajah-gajah dan hidupan liar lain agar melalui lintasan berkenaan dengan selamat dan tidak menggangu pengguna jalan raya;
c) Telah memasang 8 papan tanda besar dan 15 papan tanda kecil peringatan gajah liar melintas pada tahun 2010 sebagai panduan keselamatan dan peringatan kepada pengguna jalan raya; dan
d) Akan menambah lintasan hidupan liar di kawasan-kawasan lain yang telah dikenalpasti berpotensi menimbulkan ancaman kepada pengguna jalan raya;
Di samping itu, terdapat cadangan jangka panjang bagi mengatasi masalah gangguan gajah di Daerah Hulu Perak, antaranya:
a) Penubuhan Santuari Gajah Negeri Perak sebagai kawasan keliaran gajah sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik manusia-gajah; dan,
b) Menambah bilangan atau jajaran Sistem Pagar Elektrik Gajah di lokasi yang dikenalpasti berlakunya gangguan gajah.


Sekian terima kasih.

Attachments