Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

77

Soalan

Adakah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedar akan kepentingan terumbu karang? Nyatakan usaha-usaha yang dilaksanakan dalam pemuliharaan kawasan terumbu karang yang musnah akibat kelunturan karang dan aktiviti manusia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua, 


Kepentingan terumbu karang sememangnya disedari oleh Kerajaan sejak tahun 1980an apabila YAB Perdana Menteri pada masa tersebut Tun Dato' Seri Dr Mahathir bin Mohamad mengarahkan penubuhan kawasan perlindungan marin. Pada tahun 1983, perairan di sekeliling 22 pulau diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan di bawah Akta Perikanan 1963. Akta Perikanan 1963 dipinda dan Akta Perikanan 1985 berkuatkuasa pada 1 Jaanuari 1986 bagi membolehkan penubuhan Taman Laut. Pada tahun 1994, 22 Kawasan Larangan Perikanan diwartakan semula kepada Taman Laut dengan tambahan sebanyak 16 perairan baru menjadikan jumlah Taman Laut pada masa tersebut 38. . Sehingga kini, sebanyak 42 pulau telah digazetkan sebagai Taman Laut Malaysia dengan luas kawasan perairan sebanyak 2,486.13km2. Walau bagaimanapun jumlah ini adalah belum mencapai sasaran Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) di mana semua negara ahli termasuk Malaysia perlu memastikan sebanyak 10% dari keluasan perairan marin negara dijadikan sebagai Kawasan Perlindungan Marin (MPA) menjelang tahun 2020.
Jabatan Taman Laut Malaysia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar adalah bertanggungjawab dalam mengurus, melindungi dan memulihara kawasan perlindungan marin. Pewartaan kawasan perlindungan marin termasuklah kawasan terumbu karang ini bertujuan
untuk menjamin kelestarian sumber perikanan negara. Terumbu karang memainkan peranan yang penting dalam keseimbangan ekosistem marin, memastikan produktiviti perikanan yang berkekalan dan meningkatkan industri pelancongan negara. Terumbu karang juga berperanan sebagai penampan ombak dan juga melindungi pesisir pantai daripada hakisan, ribut dan ombak.
Tuan Yang di-Pertua, Pelbagai inisiatif dan usaha-usaha telah dijalankan oleh Kerajaan melalui Jabatan Taman Laut Malaysia dalam pemuliharaan kawasan terumbu karang. Antaranya adalah: a) Menjalankan kajian dan pemantauan karang bagi menilai keluasan kawasan dan peratusan terumbu yang terjejas akibat kelunturan karang. b) Usaha membaik pulih kawasan yang terjejas melalui pelaksanaan projek Restorasi Karang. c) Menutup kawasan terumbu karang yang terjejas melebihi 85 % bagi mengurangkan tekanan dan membantu proses pemulihan terumbu karang. d) Membentuk pelan tindakan bagi menangani fenomena kelunturan karang.
e) Membuat kajian bagi menentukan kawasan terumbu karang yang tahan lasak (Resillient area).
f) Mengawal aktiviti pelancongan di kawasan Taman Laut
g) Meningkatkan aktiviti kesedaran dan pendidikan berkaitan terumbu karang bagi memupuk kefahaman dan kesedaran untuk bersama memulihara terumbu karang.
h) Menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi mengawal pencerobohan di kawasan perairan Taman Laut dengan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.




Sekian, terima kasih.

Attachments