Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

112

Soalan

Datuk Noor Ehsanuddin bin Mohd Harun Narrashid [ Kota Tinggi ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah teknologi yang diguna pakai oleh pihak Kementerian bagi memastikan kebersihan sungai-sungai sentiasa terpelihara dari pencemaran.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Pihak Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sangat menyokong penggunaan teknologi yang terbaik yang boleh membantu dalam mengawal pelepasan sisa industri ke mana-mana alur air bagi memastikan kualiti air sungai terpelihara. Bagi Kementerian ini, usaha-usaha bagi mengawal pencemaran sungai khususnya bagi punca-punca seperti pelepasan industri, loji-loji kumbahan, air larut resapan dari tapak-tapak pelupusan sampah serta projek pembangunan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) yang dilaksanakan turut melibatkan penggunaan teknologi kawalan pencemaran di peringkat punca bagi mengolah efluen sebelum dilepaskan ke alurair di samping pendekatan penguatkuasaan lain yang berkesan.
Antara usaha yang diambil oleh JAS bagi mencegah dan mengawal pencemaran yang akan menjejaskan kualiti air sungai adalah
(a) Melaksanakan aktiviti kawalan kendiri oleh industri sendiri melalui (i) kaedah pemantauan prestasi alat kawalan pencemaran;
(ii) merekod dan pelaporan pemantauan pelepasan pencemaran secara online; dan
(iii) mewajibkan orang yang berwibawa atau orang berkelayakan bagi pengendali dan pengoperasikan alat kawalan pencemaran di premis masing-masing mahu pun bagi projek-projek pembangunan yang tertakluk di bawah AKAS 1974.
(b) memantau dan menguatkuasakan secara menyeluruh pengoperasian premis-premis dan juga projek pembangunan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
(c) Melaksanakan pemantauan secara desktop enforcement melalui sistem pemantauan jarak jauh menerusi sistem telemetri, Sistem Pemantauan Pelepasan Bulanan (Monthly Discharge Monitoring System) yang diwajibkan ke atas industri yang menghasilkan efluen supaya semua punca-punca tersebut mematuhi AKAS 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.
(d) Melaksanakan pemeriksaan susulan bagi menentusahkan pelaporan yang dikemukakan adalah berintegriti dan tepat dengan situasi yang berlaku di lapangan. Tindakan penguatkuasaan seperti amaran bertulis di lapangan (field citation), Notis Arahan, tawaran kompaun, penyitaan peralatan, perintah larangan operasi atau tindakan mahkamah akan dikenakan ke atas mana-mana punca yang didapati tidak patuh.
(e) Menyemak dan membuat pindaan-pindaan kepada peruntukan AKAS 1974 dan peraturan yang berkaitan sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan semasa teknologi kawalan pencemaran dan kaedah pengurusan alam sekitar yang dinamik dan kompleks.
(f) Menerbitkan pelbagai dokumen dan garispanduan serta menjalankan aktiviti kesedaran alam sekitar bagi meningkatkan kefahaman pihak-pihak yang berkenaan ke arah pematuhan kepada kehendak perundangan alam sekitar yang berkuatkuasa.
(g) Mempertingkat dan memperkemaskan program-program pemantauan kualiti air (sungai, air tanah dan marin) yang dilaksanakan oleh Jabatan bagi memenuhi keperluan bagi pembuat keputusan.
Manakala melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), menggunakan beberapa teknologi untuk memastikan kebersihan sungai-sungai seperti pemasangan log boom, trash rake, River Water Treatment Plant (RWTP), floatable wetland, rock weir dan Gross Pollutant Trap (GPT).
Kawalan pencerobohan dan pencemaran sungai merupakan tanggung jawab semua pihak, penduduk, orang ramai, pengilang dan sesiapa sahaja yang menggunakan air. Undang-undang sedia ada di pelbagai agensi, jabatan dan Majlis Berkuasa Tempatan perlu diselaraskan supaya tindakan yang lebih berkesan dapat diambil ke atas pesalah yang menyebabkan pencemaran sumber air.
Oleh yang demikian, Kementerian kini dalam proses Pengubalan Rang Undang-Undang Sumber Air Negara (RUU SAN) sebagai usaha kementerian dalam melengkapkan dan mengukuhkan penguatkuasaan kawalan pencemaran dari segi perundangan dan ini dilihat akan membawa kepada pembangunan Negara yang mapan di mana wujudnya sungai yang bersih, air yang mencukupi, selamat serta persekitaran yang kondusif untuk kehidupan.


Sekian, terima kasih.
Attachments