Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

113

Soalan

YB DATUK NOOR EHSANUDDIN MOHD HARUN NARRASHID [ KOTA TINGGI] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kementerian mempunyai pelan strategik dalam mengatasi isu pemanasan global.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Malaysia tidak mempunyai pelan strategik yang khusus untuk menangani isu pemanasan global. Walaubagaimanapun, Malaysia mempunyai obligasi di peringkat antarabangsa untuk melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim iaitu Paris Agreement. Paris Agreement telah dipersetujui pada 12 Disember 2015 semasa persidangan Ke-21 Negara Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB di Paris, Perancis. Malaysia telah menandatangani Paris Agreement pada 22 April 2016 di New York, Amerika Syarikat.
Antara tindakan susulan Paris Agreement yang perlu dilaksanakan oleh negara adalah menyediakan satu laporan telus mengenai hasrat negara melaksanakan tindakan-tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang dinamakan Nationally Determined Contributions (NDC) setiap 5 tahun sekali. NDC merupakan sumbangan negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim bagi tempoh pasca-2020 di bawah Paris Agreement. Dalam erti kata lain, NDC adalah ‘pelan strategik’ negara untuk menangani impak perubahan iklim yang mengakibatkan isu pemanasan global dan kejadian bencana alam. Malaysia telah mengemukakan NDC pertamanya kepada UNFCCC pada 27 November 2015.
Melalui NDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030 berasaskan intensiti pelepasan pada tahun 2005. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.


Sekian, terima kasih.

Attachments