Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menerusi Jabatan PERHILITAN adalah amat komited dalam melindungi hidupan liar selaras dengan misi menerajui integrasi dan pelaksanaan program konservasi dan pengurusan lestari biodiversiti negara secara cekap dan berkesan. Oleh itu, beberapa pelan jangka panjang dan tindakan sedang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mencapai misi ini. Antaranya adalah:
(i) mewujudkan rangkaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) melalui Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) yang dinyatakan di dalam Dasar Rancangan Fizikal Negara Ke 19. CFS bertujuan untuk mewujudkan kesinambungan habitat biodiversiti negara termasuk hidupan liar yang terdiri daripada empat kompleks hutan iaitu:
Banjaran Titiwangsa – Banjaran Bintang – Banjaran Nakawan;
Taman Negara – Banjaran Timur;
Pahang Tenggara, Chini dan kawasan berpaya Bera; dan
Taman Negara Endau Rompin-Rezab Hidupan Liar Kluang.
(ii) melaksanakan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) (2013 – 2022) bagi menangani ancaman terhadap gajah iaitu fragmentasi hutan, penurunan
3
kualiti/ kehilangan habitat, pemburuan haram pembunuhan gajah oleh orang awam (konflik dengan manusia) dan masalah genetik dan demografi disebabkan saiz populasi yang kecil. Sasaran utama NECAP adalah mewujudkan keseimbangan antara kelestarian populasi gajah dan aktiviti pembangunan semasa di Semenanjung;
(iii) melaksanakan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (PTPHK) bagi menjamin masa depan Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia. Dalam RMKe-11 sejumlah RM18.7 juta telah diperuntukkan bagi menjalankan Survei Harimau Kebangsaan Pertama di seluruh hutan Central Forest Spine (CFS), untuk mendapatkan populasi Harimau Malaya secara saintifik dan lebih tepat. Survei ini akan dijalankan dengan kerjasama di antara Jabatan PERHILITAN serta NGO yang berkaitan. Pelaksanaan PTPHK terbahagi kepada 4 objektif, iaitu:
Meningkatkan perlindungan habitat Harimau Malaya;
Memberikan perlindungan jangka panjang kepada populasi Harimau Malaya dan mangsanya;
Mengurangkan konflik antara manusia dan Harimau Malaya; dan
Menjalankan kajian populasi dan ekologi Harimau Malaya.
(iv) mewajibkan Pelan Mitigasi Hidupan Liar di dalam Environmental Impact Assessment (EIA) bagi projek pembangunan berskala besar di kawasan yang menjadi
4
habitat hidupan liar. Laporan ini hendaklah menyatakan tentang kehadiran spesies hidupan liar di kawasan terlibat dan juga pelan mitigasi yang akan dijalankan bagi mengurus dan menangani masalah yang bakal timbul berkaitan spesies hidupan liar yang ada di kawasan tersebut.
(v) penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam Flora dan Fauna 2008 [Akta 686] bagi memastikan semua hidupan yang terancam dan dilindungi daripada dieksploitasi secara tidak terkawal dan mencegah daripada penyeludupan. Pelbagai pendekatan pelaksanaan Akta seperti menjalankan aktiviti rondaan, operasi jerat, risikan, pemeriksaan di premis dan kawalan di pintu masuk utama negara telah dilaksanakan. Pihak Jabatan juga telah memperkasakan aktiviti penguatkuasaan dengan menubuhkan Wildlife Crime Unit (WCU) di peringkat Ibu Pejabat dan negeri di samping unit-unit penguatkuasaan sedia ada;
(vi) memperkasa Program Pembiakan Hidupan Liar untuk menyediakan stok hidupan liar bagi tujuan pelepasan, penyelidikan, ekopelancongan dan pendidikan. Sebanyak 12 buah Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) telah dibangunkan dan beroperasi bagi melaksanakan program pembiakan spesies hidupan liar. Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan program pembiakan ex-situ ke atas spesies-
5
spesies hidupan liar terancam seperti Seladang, Tapir, Rusa Sambar, Pelanduk, Kijang Dan Burung Kuang; dan
(vii) menjalankan program kesedaran awam secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan orang ramai terhadap konservasi biodiversiti terutamanya hidupan liar. Pelbagai program telah dijalankan seperti Program Pendidikan Biodiversiti, pameran, ceramah dan program bersama masyarakat setempat. Kumpulan sasaran bagi program ini adalah para pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dan orang awam.
Sekian, terima kasih.