Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

453

Soalan

YB. DATO' FAUZI BIN ABDUL RAHMAN [ INDERA MAHKOTA ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan oleh kerana Majlis Perhutanan Negara (MPN) adalah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, adakah Kerajaan sedar bahawa pembalakan secara sah atau haram di kawasan-kawasan tadahan air telah merosakkan “eco-system” kita dan sekaligus menyebabkan kecetekan hulu-hulu sungai dan kekerapan banjir kilat. Apakah langkah-langkah MPN untuk mengawal keadaan ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat, Majlis Perhutanan Negara (MPN) dan Majlis Mineral Negara (MMN) telah digabungkan ke dalam Majlis Tanah Negara (MTN) pada tahun 2011. MTN dipengerusikan oleh YAB TImbalan Perdana Menteri dan ia merupakan satu platform rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi membincangkan mengenai dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perkara-perkara berkaitan pentadbiran tanah, isu-isu perlombongan dan perhutanan.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengenal pasti seluas 816,833 hektar kawasan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung yang berpotensi untuk dijadikan sebagai Hutan Tadahan Air.
MPN dan MTN telah membuat beberapa keputusan penting bagi memastikan kawasan tadahan air ini dilindungi, dipelihara dan diuruskan secara terbaik melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan, antaranya seperti berikut:
(i) supaya semua kawasan hutan di dalam HSK di Semenanjung yang berada pada had ketinggian 1,000 meter dan lebih dari aras permukaan laut diwartakan sebagai Hutan Perlindungan Tanah dan Hutan Tadahan Air mengikut subseksyen 10(1) Akta 313; dan
(ii) supaya kerajaan negeri mewartakan sepenuhnya kawasan hutan tadahan air yang telah dikenal pasti di dalam HSK mengikut keperluan seksyen 10(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984.
Sehingga kini, seluas 723,731 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air. Kemajuan status pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air dipantau melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara setiap tahun.
Selain itu, bagi memelihara kawasan tadahan air, langkah-langkah berikut juga telah diambil:
(i) Jabatan Perhutanan Negeri dikehendaki menyediakan preskripsi pengurusan yang khusus bagi kawasan Hutan Tadahan Air dalam Rancangan Pengurusan Hutan di Negeri masing-masing mengikut format penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan;
(ii) Pemantauan dan kawalan kawasan Hutan Tadahan Air di peringkat negeri dilaksanakan secara berkala bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku dalam kawasan tersebut, di mana Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kawasan Hutan Tadahan Air Dalam Hutan Simpanan Kekal telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling KPPSM Bil. 2 Tahun 2015; dan
(iii) Menubuhkan stesen pemantauan hidrologi di negeri bagi memantau kualiti air sungai dalam Hutan Simpanan Kekal secara berkala.
Sekian, terima kasih.

Attachments