Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

08 December 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Air

Nombor Soalan

13

Soalan

Tuan Chia Song Cheng minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan hasil kajian Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia mengenai sistem perparitan negara ini, dan apakah pendekatan yang akan diambil untuk memperbaik sistem saliran terutama di kawasan bandar yang sering banjir.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan Kajian Komprehensif \Penyelesaian Jangka Panjang Dalam Memerangi Banjir Kilat di seluruh Negara pada tahun 2013. Hasil kajian tersebut didapati terdapat sebanyak 102 zon banjir kilat kritikal di seluruh negara.
Berdasarkan kajian tersebut, 2 pendekatan utama telah dicadangkan seperti berikut;
1. Melaksanakan pendekatan secara struktur:
a) Melaksanakan kerja-kerja pembinaan dan menaiktaraf infrastruktur saliran seperti membina dan menaiktaraf kolam takungan, rumah pam, perparitan dan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH); dan
b) Menjalankan program operasi dan penyelenggaraan (Operation & Maintenance) yang berkesan dengan peruntukan khas Geran Tahunan Penyelenggaraan (tertakluk kepada kelulusan Agensi Pusat yang berkaitan).
2. Melaksanakan langkah bukan struktur, iaitu:
a) Menjalankan Program “Public Outreach” dan Kempen Kesedaran Alam Sekitar di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar masyarakat lebih berdisiplin terhadap kebersihan bandar demi mengelakkan longkang dan parit tersumbat;
b) Menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dan Rekabentuk Terperinci mengikut garis panduan MSMA untuk diserah kepada pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT (selaras dengan Seksyen 50, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) di mana Kerajaan Tempatan telah dipertanggungjawabkan dalam penyediaan, melaksana atau menaiktaraf sistem saliran bandar di kawasan pentadbiran mereka).
c) Memperkasakan elemen perundangan berkaitan pengurusan dan kawal selia sumber air. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini sedang menyediakan Rang Undang – Undang Sumber Air Negara (RUUSAN) yang menggalakan pengurusan sumber air secara bersepadu dan ini turut meliputi isu-isu berkaitan air larian hujan yang akhirnya akan memasuki badan - badan air(Water body) seperti sungai,tasik dan kolam.
Di samping memberikan nasihat teknikal kepada PBT dalam proses merancang pembangunan baru termasuklah memperbaiki sistem saliran, JPS juga melaksanakan beberapa projek bagi mengatasi masalah banjir di bandar seperti di Bandaraya Kuching, Sandakan, Kemaman, Bandaraya Melaka dan Pelabuhan Klang. Namun, tanggungjawab untuk membina dan menyelenggara Sistem Saliran Bandar masih terletak di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).


Sekian, terima kasih.

Attachments