Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

19 December 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

2

Soalan

Tuan Isa bin Ab. Hamid minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan usaha-usaha untuk mempaten produk herba Orang Asli oleh FRIM. Bolehkah FRIM menjelaskan jumlah produk yang telah dipatenkan dan adakah produk-produk tersebut telah dikomersialkan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Semenjak 2007, FRIM telah mendokumenkan pengetahuan tradisi bagi 17 daripada 18 sub-etnik Orang Asli di Semenanjung Malaysia; dan merekodkan 500 spesies tumbuhan ubatan. Aktiviti dokumentasi ini adalah satu daripada inisiatif bagi memelihara pengetahuan tradisi Orang Asli berkaitan tumbuhan ubatan yang mempunyai nilai ekonomi dan juga bagi menghalang daripada kecurian bio (bio-piracy) dan juga salah guna (misappropriation). Usaha ini juga dapat menyokong Polisi Kepelbagaian Biologi Kebangsaan. Sebanyak 82 daripada 500 spesies ini dipilih untuk analisa makmal yang melibatkan ujian fitokimia (phytochemistry) dan penentusahkan aktiviti biologi (antiradang (anti-inflammatory), antidiabetik (antidiabetic), antioksidan (antioxidant), antimikrob (antimicrobial), antikanser (anticancer), antiprotozoal dan tahap keselamatan). Daripada jumlah ini, 25 spesies dikenal pasti mempunyai potensi untuk dibangunkan menjadi produk prototaip (prototype product). Berdasarkan projek pilot pada tahun 2013-2014, dua (2) produk prototaip “Semelai Secret” daripada spesies TSBR087 (pengetahuan tradisi Semelai) telah berjaya dibangunkan dan bagi projek pilot ke-2 (2014-2016) tiga (3) produk prototaip “Pengloy Semai” daripada spesies UGG004 berjaya dibangunkan setakat ini (pengetahuan tradisi Semai).
Di bawah Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), Malaysia dituntut untuk berkongsi faedah dengan komuniti Orang Asli dan masyarakat setempat secara adil dan saksama. Rundingan bagi perkongsian faedah sedang
dijalankan bersama komuniti orang asli sebagai pemilik pengetahuan dan kerajaan negeri sebagai pemilik tanah (sumber). Disasarkan pada tahun 2017, perjanjian akses dan perkongsian faedah (ABS) ini akan dimuktamadkan sebelum pemfailan paten serta komersialisai produk boleh diteruskan.
Usaha mempaten pengetahuan tradisi tumbuhan ubatan juga memerlukan kewujudan dan penguatkuasaan akta ABS. Memandangkan akta belum dikuatkuasakan, pemfailan paten akan mendedahkan maklumat kepada umum (public domain) dan menyebabkan tiada perlindungan kepada hak orang asli terutamanya dari segi perkongsian faedah.
Dari sudut komersialisasi, bahan mentah merupakan input utama. FRIM di bawah RMK11, sedang melaksanakan inventori di negeri Pahang dan Johor manakala pada tahun 2017 pula inventori akan dijalankan di negeri Perak dan Kedah bagi mengetahui keberadaan sumber 25 spesies terpilih dalam hutan asli. Walau bagaimanapun sekiranya bahan mentah diperlukan secara berterusan, penanaman secara ladang merupakan pilihan yang terbaik. Ketika ini FRIM sedang berusaha menghasilkan bahan tanaman secara kultur tisu dan pembiakan tampang bagi kaum durian, kaum kekacang, kaum halia dan kaum pakis. Usaha mempromosi dan menarik pelabur serta peladang menanam secara ladang akan dijalankan serentak.


Sekian, terima kasih.

Attachments