Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

21 December 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

76

Soalan

Puan Shahanim binti Mohamad Yusoff minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan status terkini perlaksanaan Sistem E-Tanah di seluruh negara dan bagaimanakah Sistem E-Tanah ini dapat memanfaatkan Pentadbiran Hal Ehwal Tanah selepas Akta Kanun Tanah Negara 1960 dipinda dan diluluskan pada Jun 2016.

Jawapan

Tuan Yang di - Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini, sistem e-Tanah sedang dibangunkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula dari November 2014 dan dijangka dapat mula digunakan pada awal tahun 2017.
Selain itu, selaras dengan Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2016 [Akta A1516], satu peruntukan baru seksyen 292A telah diperkenalkan yang membolehkan pelaksanaan transaksi secara elektronik sepenuhnya dalam urusan tanah. Sehubungan itu, selepas daripada ini, Sistem e-Tanah boleh dirancang pembangunannya dengan mengambil kira transaksi secara elektronik sepenuhnya.
Antara manfaat Sistem e-Tanah adalah ia merupakan sistem bersepadu yang menggantikan sistem-sistem sedia ada yang stand alone serta tidak berintegrasi antara satu sama lain. Ia diyakini dapat membendung kes-kes pemalsuan dan penipuan urusan tanah serta meningkatkan ketelusan pentadbiran tanah. Sistem e-Tanah yang bercirikan Kaunter Single Point of Contact (SPOC) membolehkan semua urusan berkaitan tanah dapat dilakukan pada satu (1) kaunter sahaja kerana ia diintegrasikan dengan sistem Jabatan lain yang berkaitan dengan urusan Tanah.
Projek Sistem e-Tanah telah merekayasa (re-engineering) proses dan aliran kerja pentadbiran tanah bagi meningkatkan keefisienan pentadbiran tanah dimana banyak proses kerja diautomasikan dan
seterusnya dapat memendekkan tempoh masa proses permohonan serta pendaftaran hakmilik. Sistem e-Tanah juga membolehkan carian persendirian, semakan status urusan tanah dan pembayaran hasil dilakukan secara atas talian.
Secara keseluruhannya, Sistem e-Tanah dijangka dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah kepada rakyat. Penggunaan Sistem e-Tanah juga akan meningkatkan pencapaian Malaysia dalam kajian oleh World Bank dari aspek Ease Of Doing Business – Registering Property.


Sekian, terima kasih.

Attachments