Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 4

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

08 December 2016

Tahun Persidangan

2016

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

4

Soalan

JAWAPAN BERSEKALI  2 SOLAN - 8 DIS 16 DAN 13 DIS 16

1. YB. Senator Dato' Haji Mohd. Salim bin Sharif minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sehingga 30 Jun 2016 berapa banyakkah kes tangkapan terhadap penerokaan kawasan paya bakau dilaksanakan dan apakah bentuk hukuman yang telah dilaksanakan.




2. YB. Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian [Tarikh soalan: 13 Disember 2016] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan inisiatif-inisiatif dan keberkesanan langkah-langkah Kerajaan dalam melindungi hutan paya bakau di persisiran pantai negara, terutamanya di Sarawak.




Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Izinkan saya menjawab soalan YB. Senator Dato' Haji Mohd. Salim bin Sharif dan YB. Senator Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian pada 13 Disember 2016 kerana ia berkaitan dengan perkara yang sama iaitu inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan Hutan Paya Laut.
Sehingga 31 Disember 2015, kawasan Hutan Paya Laut adalah seluas lebih kurang 118,317 hektar iaitu 2.04% daripada keluasan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia. Daripada keluasan hutan paya laut tersebut, seluas 105,693 hektar iaitu 89% telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak Kementerian terhadap pemuliharaan kawasan Hutan Paya Laut dan kawasan pesisiran pantai Negara, antaranya adalah:
(i) Pewartaan Hutan Paya Laut sebagai Hutan Simpanan Kekal;
(ii) Program Penanaman Pokok Bakau Dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara. Keseluruhan kawasan yang telah ditanam sejak dari tahun 2005 hingga 2016 adalah seluas 2,703 hektar yang melibatkan sebanyak 6.5 juta pokok di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak;
(iii) Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang secara berkala;
(iv) Melibatkan pihak sektor swasta, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), institusi-institusi pendidikan dan penyelidikan serta masyarakat awam dalam program pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai Negara; dan
(v) Pelaksanaan kempen kesedaran bagi meningkatkan kesedaran orang awam kepada fungsi dan ekosistem hutan paya laut. Sehingga kini, siri-siri kempen kesedaran telah dianjurkan dengan penglibatan sejumlah 6,987 peserta.
3
Daripada Januari sehingga Jun tahun 2016, sebanyak 15 kes kesalahan hutan yang melibatkan kawasan bakau telah dikesan di bawah Seksyen 68, Seksyen 81 dan Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313). Seramai tujuh (7) orang suspek telah ditahan dan kes masih dalam siasatan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Dalam hubungan ini, sebanyak 6,232 batang kayu jaras bakau telah dirampas. Hukuman maksimum yang akan dikenakan sekiranya sabit kesalahan di bawah Seksyen 15, Akta Perhutanan Negara 1984 adalah denda sehingga RM500,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu hingga 20 tahun.
Ini tidak termasuk, bayaran royalti, premium dan ses sebanyak sepuluh kali ganda dan sejumlah wang tidak melebihi sepuluh kali ganda nilai hasil hutan itu yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri juga di bawah Seksyen yang sama. Selain itu, penceroboh juga boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 81 bagi kesalahan perbuatan-perbuatan yang dilarang di dalam Hutan Simpanan Kekal dan Seksyen 84 bagi kesalahan memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.
Berkenaan dengan usaha Kerajaan Negeri Sarawak bagi melindungi Hutan Paya Laut, Kerajaan telah mengambil langkah yang aktif dalam perlindungan dan pemeliharaan kawasan hutan paya bakau ini dengan mewartakan kawasan tanah kerajaan yang ada sebagai kawasan terlindung sepenuhnya. Usaha pewartaan ini dibuat untuk menjadikan kawasan tersebut terus dilindungi untuk dijadikan kawasan taman negara, rezab semula jadi dan sanktuari hidupan liar. Antara kawasan yang telah diwartakan sejak tahun 1957 hingga sekarang adalah seperti Bako National Parks, Rejang Mangrove National Park, Limbang Mangrove National Park, Kuching Wetland National Parks dan Pulau Seduku Nature Reserve. Selanjutnya, beberapa kawasan persisiran pantai yang lain turut diwartakan sebagai kawasan perlindungan antaranya Samusam Wildlife Sanktuari, Tanjung Datu National Park dan Similaju National Park.


Sekian, terima kasih.

Attachments