Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian menerusi Jabatan PERHILITAN amat serius dan komited dalam memastikan kebajikan hidupan liar tidak diabaikan terutamanya oleh pengendali Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) di Semenanjung Malaysia. Pengawalan kepada aktiviti zoo ini dinyatakan di dalam Seksyen 10(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar, 2010 [Akta 716] iaitu keperluan permit bagi mengendalikan zoo.
Sehubungan dengan itu Jabatan PERHILITAN sentiasa membuat pemantuan terhadap aktiviti yang dilakukan oleh pihak ZPT termasuk Langkawi Elephant Adventures (LEA). Di antara tindakan yang dilakukan oleh Jabatan adalah menjalankan pemeriksaan secara berkala terhadap hidupan liar yang terdapat di LEA termasuk gajah Lasah. Pemeriksaan dilakukan oleh Pasukan Audit ZPT Jabatan PERHILITAN bagi memastikan ZPT mematuhi kriteria seperti mengurus kebajikan, kesihatan dan keselamatan hidupan liar selaras dengan Peraturan-peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Pameran) 2013. Antara tahun 2015 sehingga Januari 2017 sebanyak 21 kali pemeriksaan telah dijalankan terhadap Gajah Lasah.
Hasil pemeriksaan mendapati secara keseluruhannya LEA telah mematuhi kriteria pengauditan yang ditetapkan. Namun begitu, gajah Lasah telah hidup secara bersendirian terlalu lama semenjak tahun 2003 di LEA dan
dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan dan kebajikannya jika digunakan setiap hari untuk menjalankan aktiviti bersama pelancong. Oleh yang demikian, pihak Kementerian melalui Jabatan PERHILITAN bercadang untuk memindahkan gajah Lasah dari Langkawi Elephant Adventures ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang agar kebajikan gajah Lasah terjamin.
Sekian, terima kasih.