Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

13 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

7

Soalan

​JAWAB BERSEKALI  BERSAMA YB GERIK PADA 15 MAC 2017 ( YBM MENJAWAB )

YB TUAN AHMAD NAZLAN BIN IDRIS [JERANTUT] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah usaha yang dilakukan bagi memastikan hutan tidak diceroboh dan diterokai sesuka hati terutamanya yang berdekatan dengan kawasan tadahan air dan sungai kerana ianya menyebabkan masalah kekurangan air bila kemarau dan banjir bila hujan lebat kerana fungsi hutan melepaskan air secara perlahan lahan telah tiada dan sungai telah menjadi cetek akibat mendapan sedimen yang berlaku.



Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Izinkan saya menjawab soalan ini secara bersekali dengan soalan yang dikemukakan oleh YB Gerik yang akan dijawab pada 15 Mac 2017 kerana ia juga berkaitan dengan pencerobohan hutan.
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian ini tidak menafikan berlakunya aktiviti pencerobohan hutan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal. Sehingga kini, berdasarkan maklumat imej satelit kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang telah diceroboh adalah seluas lebih kurang 19,700 hektar. Walau bagaimanapun maklumat tersebut perlu dibuat pemeriksaan dan pengesahan di lapangan (ground truthing) memandangkan imej satelit juga mengambilkira kawasan-kawasan ladang sebagai kawasan hijau. Oleh yang demikian, Jabatan Perhutanan Negeri kini sedang menjalankan kajian dan dalam proses untuk menyediakan maklumat terperinci berkaitan status terkini kawasan ceroboh dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal.
Di samping itu, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kejadian sungai yang cetek akibat mendapan sedimen bukanlah disebabkan oleh faktor penerokaan hutan sahaja tetapi ianya juga ada hubungkait dengan aktiviti pembangunan tanah untuk tujuan pertanian dan pembangunan-pembangunan lain.
Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sentiasa komited dalam usaha menangani pencerobohan dan
3
penerokaan hutan secara haram termasuk di kawasan hutan tadahan air. Oleh yang demikian, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dilaksanakan bagi menangani kegiatan pencerobohan dan penerokaan haram kawasan HSK.
Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian bagi mengawal dan mencegah kegiatan penerokaan haram dan pencerobohan kawasan HSK adalah:
(i) Penguatkuasaan hutan secara bersepadu melalui program National Blue Ocean Strategy (NBOS) seperti 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) dan Centralised Enforcement Team (CET) serta penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JET) yang terlatih serta dilengkapi dengan penggunaan kemudahan logistik yang rugged seperti motosikal lasak, penggunaan senjata api dan lain-lain kemudahan keselamatan;
(ii) Penggunaan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real time; penggunaan sensor hyperspectral; Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS);
(iii) Meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari masa ke semasa terutama kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi (hotspot) dan kawasan-kawasan penerokaan haram yang telah dikenalpasti;
4
(iv) Menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melalui Pasukan Sukarelawan Ranjer Hutan APM yang baru ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri; dan
(v) Menjalankan program restorasi kawasan-kawasan hutan yang diceroboh dalam usaha memulihara kawasan tersebut.
Jawatankuasa Pemutihan kawasan-kawasan penerokaan haram diperingkat negeri melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan juga telah ditubuhkan dalam usaha menangani isu-isu pembalakan dan penerokaan haram dalam kawasan HSK.
Bagi tujuan memelihara kawasan tadahan air, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah mengenal pasti seluas 816,833 hektar kawasan HSK di Semenanjung yang berpotensi untuk dijadikan sebagai Hutan Tadahan Air. Sehingga kini seluas 734,731 hektar telah berjaya diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. Memandangkan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Kementerian memohon kerjasama semua kerajaan negeri untuk menyegerakan pewartaan baki kawasan hutan tadahan air yang telah dikenalpasti.
Sekian, terima kasih
5
Lampiran A
MAKLUMAT KAWASAN HUTAN TADAHAN AIR DALAM HUTAN SIMPANAN KEKAL DI SEMENANJUNG MALAYSIA PADA 31 DISEMBER 2015
Negeri
Keluasan Cadangan
(ha)
Keluasan Di Warta
(ha)
Baki
Johor
85,954.45
85,597.61
356.84
Kedah
110,495.00
30,222.00
80,273.00
Kelantan
35,898.00
35,898.00
0
Melaka
1,228.23
0
1,228.23
Negeri Sembilan
51,020.00
51,020.00
0
Pahang
258,951.88
258,707.56
244.32
Perak
159,866.00
159,866.00
0
Perlis
4,380.00
4,380.00
0
Pulau Pinang
3,121.00
3,121.00
0
Selangor
44,543.00
44,543.00
0
Terengganu
61,375.58
61,375.58
0
W. Persekutuan Kuala Lumpur
0
0
0
JUMLAH 816,833.14 734,730.75
82,102.39
6
Antara langkah yang telah diambil oleh Kementerian melalui JPSM bagi memastikan kawasan tadahan air ini dilindungi, dipelihara dan diuruskan secara terbaik melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan adalah seperti berikut:
(i) Mewartakan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai Hutan Tadahan Air mengikut keperluan seksyen 10(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984. Sehingga kini, seluas 723,459 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air. Kemajuan status pewartaan kawasan Hutan Tadahan Air dipantau melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara;
(ii) Jabatan Perhutanan Negeri dikehendaki menyediakan preskripsi pengurusan yang khusus bagi kawasan Hutan Tadahan Air dalam Rancangan Pengurusan Hutan di Negeri masing-masing mengikut format penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan;
(iii) Pemantauan dan kawalan kawasan Hutan Tadahan Air di peringkat negeri dilaksanakan secara berkala bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku dalam kawasan tersebut, di mana Panduan Penubuhan dan Pengurusan Kawasan Hutan Tadahan Air Dalam Hutan Simpanan Kekal telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling KPPSM Bil. 2 Tahun 2015; dan
(iv) Menubuhkan stesen pemantauan hidrologi di negeri bagi memantau kualiti air sungai dalam Hutan Simpanan Kekal secara berkala.


Sekian, terima kasih
Attachments