Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

13 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

54

Soalan

Y.B. DATO 'HAJAH NORMALA BT ABDUL SAMAD [PASIR GUDANG] MINTA MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan berapakah jumlah sungai yang mencatatkan kualiti air kelas 4 & 5 mengikut negeri dan sejauh manakah keberkesanan kempen "Cintailah Sungai Kita" yang telah dilancarkan sejak dari tahun 1993.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa mengawasi kualiti air sungai di seluruh negara. Berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeling yang telah dikeluarkan oleh JAS pada tahun 2016, sebanyak 22 sungai telah dikategorikan sebagai Kelas IV iaitu 17 sungai yang terletak di negeri Johor, 3 sungai yang terletak di negeri Pulau Pinang, dan sebatang sungai yang masing-masing terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Kelantan. Manakala, tiada sungai yang diawasi oleh JAS mencatatkan tahap kualiti air pada Kelas V. Kualiti air sungai pada tahap Kelas IV ini adalah dikategorikan sebagai sangat tercemar dan tidak sesuai untuk kegunaan manusia kecuali bagi tujuan pengairan. Jumlah sungai yang mencatatkan kualiti 4 dan 5 ini hanyalah 5% daripada jumlah keseluruhan sungai yang dipantau oleh JAS.
Dalam hal ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah memulakan usaha untuk meningkatkan kualiti sungai-sungai di negara ini, dengan melancarkan Kempen Cintai Sungai Kita pada tahun 1993 sehingga 2004.
Ini merupakan usaha peringkat awal dalam memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya sungai untuk dihargai dan dijaga selain dari memberi penekanan kepada elemen peningkatan kualiti air sungai semata-mata. Langkah-langkah yang diambil ini merupakan tindakan bukan struktur dalam menggerakkan masyarakat supaya lebih menghargai sungai sebagai punca utama sumber air Negara.
Keberkesanan kempen ini telah menyumbang kepada langkah-langkah yang telah diambil oleh JAS dalam meningkatkan kualiti air sungai. Bilangan sungai yang mencapai kualiti yang lebih baik pada tahun 2004 adalah sebanyak 58 sungai jika dibandingkan dengan 32 sungai pada tahun 1993.
Selain itu, pada tahun 1996, JPS telah melancarkan Program 10 Tahun Pembersihan Sg. Klang, dengan melaksanakan kaedah struktur dan bukan struktur. Di antara sub-program yang dilaksanakan ialah:
1) Pembinaan log-boom dan perangkap sampah;
2) Pengutipan sampah dan pembersihan sampah terapong;
3) Pemindahan setinggan dari tepi sungai;
4) Pengolahan najis babi; dan
5) Pendidikan dan kempen kesedaran kepada pelajar sekolah.
Program 10 Tahun Pembersihan Sg. Klang yang tamat pada 2006, merupakan persiapan awal kepada permulaan kepada program yang lebih hebat dan berimpak tinggi. Di bawah National Key Economic Areas dan sebahagian inisiatif Greater Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 2010, skop pembersihan adalah merangkumi:
i. Pembersihan Sg Klang sepanjang 110km
ii. Kerja-kerja pengindahan sepanjang 10.7km serta
iii. Pembangunan harta tanah ditebing dan koridor sungai Klang.
Keseluruhan pembangunan ini akan menukar rupa struktur dan sosio ekonomi Kuala Lumpur dan Lembah Klang menjelang 2020 kepada bandaraya bertaraf dunia dengan standard terbaik bagi semua bidang, infrastruktur untuk perniagaan, keselesaan dan kesejahteraan hidup.


Sekian, terima kasih.

Attachments