Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

16 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Air

Nombor Soalan

2

Soalan

Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan :-
(a) tentang keadaan banjir yang berlaku setiap tahun di Pantai-Timur dan berikan punca-punca utama yang mengakibatkan banjir di kawasan-kawasan tertentu hampir setiap tahun; dan
(b) mengapa fenomena banjir tidak dapat diatasi dan nyatakan projek-projek pencengahan banjir yang telah dilaksanakan dan bagaimanakah dengan kesannya.


Jawapan



Tuan Yang di-Pertua,




a) Keadaaan banjir yang berlaku di pantai timur adalah berpunca daripada taburan taburan hujan yang tinggi akibat dari angin monsun timur laut yang berlaku pada bulan Oktober sehingga Januari setiap tahun.
Dalam pada itu, Kerajaan turut menjalankan kajian Pelan Induk Tebatan Banjir dan Kajian Saliran Bandar bagi bandar-bandar utama di Seluruh Malaysia dan telah mengenal pasti antara punca utama banjir adalah termasuk:
1) perubahan gunatanah yang ketara di dalam lembangan sungai yang menyebabkan peningkatan air larian permukaan;
2) Penambakan tanah bagi pembinaan infrastruktur dan perumahan merintangi dataran banjir mengecilkan ruang untuk menyimpan air banjir semasa waktu puncak hujan;
3) Air pasang di kawasan berhampiran laut;
4) Sampah sarap yang menghalang laluan air sungai dan sistem perparitan; dan
5) Pembukaan tanah yang tidak terkawal disebabkan tiada sistem kawalan hakisan dan kelodak yang menyebabkan sedimen memasuki ke dalam saluran sungai menyebabkan sungai menjadi sebu yang mengakibatkan kapasiti hidraulik sungai berkurangan.
6) Tradisi masyarakat yang memilih untuk mendirikan rumah di tanah rendah antara punca banjir. Tanah rendah merupakan dataran
banjir menyebabkan kawasan tersebut berisiko untuk dilanda banjir dan tidak dapat dielakkan. Kawasan-kawasan rendah, lembah dan pinggir sungai merupakan kawasan dataran banjir. Dataran banjir berfungsi sebagai storan semulajadi yang berupaya menyerap air supaya air hujan yang turun tidak terus menjadi air larian permukaan yang terus masuk ke sistem saliran atau sungai. Apabila pembangunan dijalankan di kawasan tersebut amat sukar untuk mengelakkan banjir daripada berlaku. Kita hanya boleh mengurangkan kesan banjir dengan pelaksanaan infrastruktur saliran yang efisien namun ianya memerlukan kos pembinaan dan operasi yang tinggi.
7) Kegagalan pemaju perumahan mematuhi cadangan pihak perunding juga antara punca banjir berlaku. Sebagai contoh pematuhan kepada Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) iaitu mengawal air larian di punca. Sesetengah pemaju gagal untuk menyediakan fasiliti seperti sistem saliran yang efisien, kolam takungan, on-site detention pond disebabkan untuk menjimatkan kos pembangunan. Begitu juga fasiliti semasa fasa pembinaan di mana pemaju jarang mematuhi pelan kawalan hakisan dan kelodak (Erosion Sediment Control Plan)seperti pembinaan silt trap, check dam, silt fence dan sediment pond bagi mengawal banjir lumpur. Aras pembangunan (Reduce Level) yang lebih tinggi juga jarang dipatuhi (0.6 m free board) menyebabkan kawasan perumahan terdedah kepada banjir.
b) Fenomena banjir tidak dapat diatasi disebabkan oleh perubahan iklim yang mempengaruhi pola hujan seperti yang kita sedang alami sekarang dan perubahan ini berpotensi untuk menyebabkan kejadian-kejadian seperti banjir dan angin monsun. Antara langkah struktur yang diambil oleh pihak Kementerian bagi mengurangkan impak banjir adalah melalui pembinaan projek tebatan banjir seperti contoh pembinaan terowong dwifungsi (SMART) yang telah dibina bermula tahun 2003 dan telah beroperasi sejak tahun 2007. Fungsi utama SMART adalah untuk mengatasi 45% masalah banjir di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur sebanyak 8 kejadian banjir besar limpahan Sungai Klang yang berpotensi menenggelamkan sebahagian kawasan tumpuan utama Pusat Bandaraya Kuuala Lumpur telah dapat dielakkan sejak terowong SMART ini mula beroperasi. Projek-projek tebatan banjir ini juga direkabentuk berdasarkan kepada aras perlindungan banjir (Flood Protection Level) yang optimum pada 100 ARI (Average Recurrence Interval) untuk kawasan bandar dan 25-50 ARI (Average Recurrence Interval) untuk kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, banjir tetap akan berlaku sekiranya hujan yang turun adalah melebihi dari hujan rekabentuk (Design Rainfall and Duration Storm) yang telah digunakan untuk perlaksanaan projek-projek tebatan banjir ini
Di bawah RMKe-10, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) telah melaksanakan projek RTB yang telah menelan belanja sebanyak RM3.936 Billion. Projek-projek tebatan banjir telah memberi impak yang positif di mana terdapat pengurangan bilangan penduduk yang menjadi mangsa banjir kesan daripada pelaksanaan projek-projek tersebut. Sebagai contoh bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Cameron Highlands melalui pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bertam yang telah siap sepenuhnya pada 19 November 2016 dan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Ringlet yang sedang di dalam fasa pembinaan ketika ini. Dengan skop kerja yang melibatkan kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai di sepanjang 1.9km, penaiktarafan 5 buah jambatan, pembinaan 4 drop structure dan 1 dewan serbaguna, pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bertam ini dapat menampung kadar ulangan banjir 100 tahun ARI (Average Recurrence Interval) dengan peningkatan kapasiti sungai dari 5m3/s kepada 220 m3/s dan secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko banjir terhadap 3,000 orang penduduk dan pengurangan risiko banjir bagi 50 ekar luas kawasan terjejas akibat banjir. Di bawah RMKe-11 pula, peruntukan yang telah diluluskan bagi RTB adalah sebanyak RM8.3 billion. NRE yakin dengan pelaksanaan projek RTB ini, dapat mengurangkan kesan negatif kepada ekonomi negara dan kebajikan penduduk, di samping melindungi alam sekitar.




Sekian, terima kasih.

Attachments