Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

16 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

58

Soalan

YB PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH [ KUANTAN ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sama ada Malaysian Timber Certification Council (MTCC) telah berjaya melaksanakan prinsip dan syarat yang digariskan didalam 'Sustainable Forest Management Plan'. Sekiranya Ya, pohon penjelasan lanjut bagaimana ianya dilaksanakan

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pensijilan Pengurusan Hutan merupakan satu aktiviti yang penting di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perdagangan produk kayu-kayan. Pelaksanaan Pensijilan Pengurusan Hutan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia adalah secara sukarela bagi menzahirkan komitmen murni terhadap kepentingan pengekalan sumber hutan negara, terutamanya bagi kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).
Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) adalah merupakan organisasi bebas yang bertanggungjawab untuk membangun dan mengendalikan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS). Skim MTCS ini memperuntukan penilaian bebas ke atas amalan pengurusan hutan secara berkekalan bagi hutan asli dan ladang hutan di Malaysia berdasarkan standard Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) dan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Plantation Management Certification (MC&I Forest Plantation v2).
Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2012. Sehingga kini enam (6) Forest Management Unit (FMU) iaitu negeri Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu telah dianugerahkan Sijil Pengurusan Hutan sehingga tahun 2019 melibatkan kawasan HSK seluas 3.81 juta hektar.
3
Tujuan utama pelaksanaan MTCS ialah:
(i) menggalakkan amalan pengurusan hutan secara berkekalan di Malaysia melalui pensijilan pengurusan hutan; dan
(ii) membolehkan industri kayu mengeluar dan mengeksport produk-produk kayu yang dianugerahkan pensijilan MTCS untuk memenuhi keperluan pasaran antarabangsa melalui pensijilan Chain of Custody (CoC).
Proses pensijilan kayu adalah bertujuan untuk memastikan supaya kawasan hutan negara diurus secara berkekalan. Konservasi biodiversiti adalah salah satu matlamat dan peranan utama dalam standard pengurusan hutan iaitu ‘Malaysian Criteria and Indicators (MC&I) for Forest Management Certification’.
Aspek-aspek konservasi biodiversiti dan pemeliharaan hidupan liar turut diberi perhatian semasa perancangan dan pelaksanaan pengurusan hutan seperti berikut:
(i) usaha yang diambil oleh FMU untuk mengenalpasti dan memelihara spesis flora dan fauna yang dikategorikan sebagai dalam bahaya, jarang ditemui dan terancam (rare, threatened and endangered);
(ii) penandaan dan pemeliharaan pokok-pokok perlindungan semasa pembalakan;
4
(iii) pelaksanaan prosedur pemantauan hidupan liar selepas pembalakan; dan
(iv) pelaksanaan program kesedaran tentang konservasi biodiversiti kepada pekerja-pekerja hutan dan komuniti tempatan.
Berhubung perkara ini, aktiviti pembalakan yang mengguna pakai teknologi penebangan mesra alam seperti long haulage cable system dan log fisher harvesting system yang digalakkan di bawah MTCS telah memantapkan lagi usaha konservasi melalui pengurangan kesan kerosakan pembalakan ke atas alam sekitar. Aspek-aspek lain dalam pemeliharaan biodiversiti seperti penanaman kawasan-kawasan lapang seperti matau dan lorong penarik, larangan penggunaan racun dan bahan-bahan kimia serta keperluan untuk membuat kajian penganalisaan dan pemantauan perubahan sifat-sifat biodiversiti di sesuatu kawasan hutan sebelum dan setelah pembalakan juga diberi penekanan.
Pelaksanaan MTCS juga membantu dalam mengenalpasti keperluan kajian lanjut berkaitan pengurusan hutan secara berkekalan, menyokong pelaksanaan Rancangan Fizikal Negara berkaitan Central Forest Spine (CFS) serta pelan konservasi hidupan liar seperti Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan.


Sekian, terima kasih.

Attachments