Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

22 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

4 YBTM JAWAB

Soalan

YB. DR. TAN SENG GIAW [ KEPONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI
DAN ALAM SEKITAR menyatakan perkembangan dan keberkesanan
untuk memelihara hutan di seluruh Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


STATUS
Sehingga tahun 2015 kawasan berhutan di Malaysia merangkumi 18.25 juta hektar atau 55.2% daripada jumlah keluasan tanah seluas 33.018 juta hektar. Daripada jumlah ini, seluas 14.46 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Kawasan HSK ini diurus melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan untuk kepentingan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
KEBERKESANAN
Kementerian sentiasa komited dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan selaras dengan komitmen negara di peringkat antarabangsa untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan. Kejayaan negara dalam mengekalkan kawasan berhutan negara tidak kurang daripada 50% menunjukkan keberkesanan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang dilaksanakan di negara ini.
Antara keberkesanan lain yang telah dilaksanakan kerajaan adalah:
i. Peningkatan kawasan HSK di Semenanjung Malaysia seluas 86,653 ha dari tahun 2000 hingga 2016;
ii. Berjaya menguatkuasakan perundangan dan peraturan hutan dengan tangkapan seramai 234 orang yang terlibat dengan kes-kes kesalahan hutan bagi tempoh tahun 2005 hingga 2016 di Semenanjung Malaysia;
iii. Sebanyak 82 juta pokok berjaya ditanam bagi tempoh 2010 hingga 2016 di seluruh negara;
iv. Negara dapat menjana pendapatan daripada eksport produk kayu kayan sebanyak RM22.14b pada tahun 2015 dan RM22.11 b pada tahun 2016; dan
v. Pewartaan kawasan hutan tadahan air seluas 734,731 ha daripada 816,833 ha yang dikenal pasti sehingga tahun 2016.
KOMITMEN KERAJAAN
Di antara inisiatif yang dilaksanakan dalam menjayakan komitmen ini adalah seperti berikut:
(i) mengekalkan pewartaan kawasan Hutan Simpanan Kekal sedia ada untuk diurus melalui amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan bagi faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar untuk kepentingan rakyat dan negara;
(ii) mewartakan kawasan cadangan Hutan Simpanan Kekal yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebagai hutan simpanan kekal;
(iii) mewartakan kawasan-kawasan tanah kerajaan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal;
(iv) menggantikan mana-mana kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah dikeluarkan/dimansuhkan dengan kawasan hutan lain yang lebih kurang sama keluasannya;
(v) meningkatkan kualiti kawasan Hutan Simpanan Kekal melalui aktiviti restorasi dan pemuliharaan kawasan hutan terosot;
(vi) melaksanakan aktiviti pemeliharaan in-situ dan ex-situ terutamanya bagi spesies flora yang Endangered, Rare and Threatened (ERT);
(vii) memperkemaskan mekanisma penguatkuasaan hutan melalui program National Blue Ocean Strategy (NBOS) seperti 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) dan Centralised Enforcement Team (CET), penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JPSM Elite Team) dan penggunaan teknologi dan peralatan terkini seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Geographical Information System (GIS), Hyperspectral sensors dan Global Positioning System (GPS) semasa menjalankan aktiviti penguatkuasaaan hutan dan pemantauan pencerobohan hutan; dan
(viii) mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam perhutanan.


Sekian, terima kasih

Attachments