Tuan Yang di-Pertua,
Pelantikan Ketua Merinyu Galian adalah di bawah Enakmen Melombong Negeri-Negeri yang mana perundangan ini telah digantikan dengan Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) dan Enakmen Mineral Negeri (EMN) selaras pembahagian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Negeri menurut Perlembagaan Persekutuan. APM adalah satu perundangan persekutuan bagi mengawal selia aktiviti perlombongan agar ianya dilaksanakan mengikut amalan kejuruteraan sebenar dengan mengambilkira kepentingan dan pemeliharaan alam sekitar, sementara EMN adalah perundangan negeri bagi mentadbir pengeluaran tenemen mineral dan hasil-hasil yang berkaitan dengannya.
Jawatan Ketua Merinyu Galian telah dimansuhkan, tetapi tugas dan tanggungjawabnya telah dilaksanakan oleh Ketua Pengarah Galian, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah APM. Tugas utama Ketua Pengarah Galian antara lainnya adalah menjalankan pengawasan dan kawalan ke atas aspek keselamatan berhubungan dengan lombong dan bagi pemfosikan, pendulangan, penjelajahan, perlombongan, pemilikan, pergerakan, penyimpanan dan pemprosesan mineral dan bijih mineral.
Justeru itu, dengan adanya tadbir urus yang lebih sistematik termasuk undang-undang yang jelas, maka adalah tidak benar untuk mengatakan kegiatan perlombongan Negara berada dalam keadaan kucar-kacir dan seolah-olah tiada peraturan.
Sekian, terima kasih