Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

25

Soalan

YB DATUK NOOR EHSANUDDIN BIN MOHD HARUN NARRASHID [KOTA TINGGI] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kementerian bercadang untuk memperkukuhkan projek koridor ekologi di bawah "Central Forest Spine" dengan menjalankan kerjasama dengan semua Kerajaan negeri.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine merupakan pelan jangka panjang yang mengandungi garis panduan serta tindakan-tindakan susulan yang perlu dilaksanakan untuk memelihara, memulihara dan meningkatkan penyambungan koridor ekologi di antara keempat-empat kompleks hutan utama yang terpisah di Semenanjung. Pelan induk ini telah mengenalpasti sebanyak 37 koridor ekologi yang perlu dibangunkan, terdiri daripada 17 Penyambungan Primer (Primary Linkages – PL) dan 20 Penyambungan Sekunder (Secondary Linkages - SL) yang melibatkan lapan (8) buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu.


Pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi CFS telah dimandatkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dengan penglibatan secara bersepadu agensi-agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri di mana Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi peneraju utama. Kerjasama erat dan berterusan di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah penting untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Induk Rangkaian Koridor Ekologi CFS.


Bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek-projek CFS dapat dilaksanakan secara berkesan, satu kerangka kerja institusi yang teratur telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Pemandu Nasional Pelaksanaan Central Forest Spine, Jawatankuasa Teknikal


Nasional Pelaksanaan Central Forest Spine dan Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Pelaksanaan Central Forest Spine.
Semua negeri yang terlibat dengan CFS iaitu Negeri Johor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu telah mengambil tindakan dengan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Pelaksanaan CFS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri/ Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di peringkat negeri masing-masing.


Kerajaan Negeri akan memantau pembangunan rangkaian ekologi dan mengawal penggunaan tanah dalam kawasan koridor ekologi CFS. Sebarang cadangan pembangunan yang baru di dalam kawasan koridor ekologi CFS perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Pelaksanaan CFS. Laporan daripada jawatankuasa ini akan dibawa ke perbincangan perkara-perkara teknikal Jawatankuasa Teknikal Nasional Pelaksanaan CFS yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa Pemandu Nasional Pelaksanaan CFS yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menyelaras pelaksanaan rangkaian ekologi CFS dengan kerjasama agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri di Semenanjung Malaysia.


Sekian, terima kasih.
Attachments