Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

265

Soalan

YB DATO' IR. NAWAWI BIN AHMAD [ LANGKAWI ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejauh manakah usaha pihak jabatan di bawah Kementerian dengan Kerajaan negeri dalam melaksanakan dasar memelihara dan memulihara alam sekitar agar negara kita terus kaya dengan sumber alam semula jadi.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian adalah komited dalam memelihara dan memulihara alam sekitar khususnya dalam usaha-usaha pemeliharaan biodiversiti bagi menjamin keseimbangan ekosistem. Bagi tujuan ini, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2016-2025 telah digubal untuk menyediakan hala tuju dan rangka kerja bagi memelihara biodiversiti dan menggunakannya secara mampan dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.
Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk melaksanakan Pelan Strategik Biodiversiti 2011 - 2020 di bawah Convention on Biological Diversity (CBD). Penggubalan DKBK adalah bagi menentukan hala tuju dan bertindak sebagai panduan kepada semua pihak terutamanya agensi Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri mengenai pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti di negara ini. Dasar ini telah mengenal pasti pihak-pihak yang akan melaksanakan pelan tindakan yang telah digariskan di samping mewujudkan mekanisma pemantauan.
DKBK 2016-2025 telah dilancarkan oleh YAB Perdana Mentari Malaysia pada 22 Februari 2016 di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) semasa perasmian Sesi Pleno Intergovernmental Science-Policy Platform On Biodiversity And Ecosystem Services Keempat (IPBES-4). Dasar ini menggariskan panduan dan hala tuju pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti negara untuk tempoh 10 tahun. Dasar ini juga memberi fokus kepada pemuliharaan berterusan, penggunaan lestari dan perkongsian hasil biodiversiti secara adil dan saksama. DKBK juga mempunyai sasaran, tindakan dan tempoh yang jelas dan merangkumi segenap lapisan masyarakat untuk terlibat dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.


Sekian, terima kasih.
Attachments