Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 March 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

40

Soalan

YB. DATO' FAUZI BIN ABDUL RAHMAN [ INDERA MAHKOTA ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan langkah-langkah Kerajaan Pusat, melalui Majlis Perhutanan Negara (MPN) untuk mengawal "over logging" oleh Kerajaan-Kerajaan Negeri dan pembalak haram hingga mengakibatkan ancaman tanah runtuh serta banjir besar yang mendatangkan bahaya dan kerugian harta benda kepada rakyat jelata.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Majlis Perhutanan Negara (MPN) ditubuhkan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-22 pada 20 Disember 1997 untuk membolehkan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mengadakan perundingan dari semasa ke semasa supaya semua isu berkaitan dengan dasar, pentadbiran dan pengurusan perhutanan dapat diselaraskan dan diselesaikan selaras dengan kepentingan nasional. Walau bagaimanapun, Mesyuarat Ke-66 MTN pada tahun 2011 telah menggabungkan semula Majlis Perhutanan Negara dan Majlis Mineral Negara (MMN) ke dalam MTN bagi membincangkan dasar dan perundangan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah bagi perkara-perkara berkaitan pentadbiran tanah, isu-isu perlombongan dan perhutanan.


Majlis Tanah Negara (MTN) diwujudkan selaras dengan Perkara 91(3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya mesyuarat MTN hendaklah diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-Menteri Besar. MPN telah menetapkan instrumen kawalan penting bagi mengawal pembalakan melalui penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT). CTT merupakan keluasan hutan pengeluaran di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang boleh diusahasilkan dalam tempoh sesuatu Rancangan Malaysia. CTT ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan perancangan pengurusan hutan yang teratur dan berkesan bagi mengimbangi kadar pengusahasilan dengan keluasan hutan pengeluaran dalam HSK
semasa, sejajar dengan konsep pengurusan hutan secara berkekalan (Sustainable Forest Management-SFM) dan pengusahasilan hutan yang optimum.
Setiap Negeri hanya dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengusahasilan hutan pada kadar CTT yang telah ditetapkan. (ii)Hanya pokok yang matang dan ditanda untuk ditebang sahaja yang boleh diusahahasil. Sementara itu, pokok-pokok yang mempunyai nilai perlindungan seperti pokok ibu, pokok buah-buahan untuk kepentingan hidupan liar dan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai Sangat Terancam, Terancam dan Jarang Ditemui (Endangered, Rare and Threatened-ERT) tidak dibenarkan untuk ditebang. Di samping itu, kawasan-kawasan yang mempunyai nilai perlindungan yang terdapat dalam kawasan pengusahasilan seperti sepanjang zon penampan sungai, kecerunan melebihi 40o, jenut hidupan liar (salt-licks) dan kawasan sensitif alam sekitar perlu dikekalkan.


Jabatan Perhutanan akan menetapkan had pengeluaran bagi setiap kawasan yang diusahasil dan had pengeluaran ini perlu dipatuhi oleh pengusaha supaya tidak berlaku pengusahasilan melebihi had pengeluaran dan pelesen adalah disyaratkan supaya menyediakan Rancangan Mengusahasil Hutan sebelum lesen pengusahasilan hutan dikeluarkan. Rancangan Mengusahasil Hutan hendaklah disahkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri.
Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sentiasa komited dalam membanteras pembalakan haram. Langkah yang telah diambil termasuklah memperkemaskan mekanisma penguatkuasaan hutan melalui program National Blue Ocean Strategy


(NBOS) seperti 1 Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network (1MBEON) dan Centralised Enforcement Team (CET), penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JPSM Elite Team) dan penggunaan teknologi dan peralatan terkini seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Geographical Information System (GIS), Hyperspectral sensors dan Global Positioning System (GPS) semasa menjalankan aktiviti penguatkuasaaan hutan dan pemantauan pencerobohan hutan.
Sekian, terima kasih
Attachments