Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 April 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

7

Soalan

​YBM JAWAB

Dr. Haji Noor Azmi Bin Ghazali [ Bagan Serai ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah Kerajaan merancang untuk mengenal pasti kawasan sensitif seperti LPT,Gerik dan Jeli dan mewujudkan lintasan kehidupan liar serta memperbanyakan peringatan kawasan lintasan hidupan liar untuk mengurangkan pelanggaran spesis yang terancam ini.

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengambil berat ke atas kemalangan yang membabitkan kenderaan dan hidupan liar (road-kill) di lebuh raya atau jalan raya. Road-kill hidupan liar merupakan salah satu kesan daripada pemisahan habitat. Pembangunan guna tanah telah menyebabkan berlakunya kehilangan dan fragmentasi habitat hidupan liar. Hidupan liar melintas jalan kerana mencari makanan, mencari pasangan untuk membiak, mengelakkan kesan gangguan ke atas habitat dan mencari habitat yang lebih sesuai.
Jabatan PERHILITAN telah mengenal pasti sebanyak 133 kawasan sensitif yang boleh berlaku kemalangan membabitkan kenderaan dan hidupan liar di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk LPT dan Jalan Raya Gerik-Jeli.
Antara usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan bagi mengelakkan kejadian kemalangan yang membabitkan kenderaan dan hidupan liar adalah membina lintasan hidupan liar. Sehingga 2015, sebanyak 3 lokasi telah dibina lintasan hidupan liar iaitu di Sg. Deka, Terengganu (tahun 2009), Sg. Yu, Pahang (tahun 2014) dan Gerik, Perak (tahun 2015). Di dalam Rancangan Malaysia Ke11 (RMKe11), sebuah lagi lintasan hidupan liar akan dibina di Jalan Kluang-Mersing, Johor.
3
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Kementerian juga telah mengadakan mesyuarat pada 11 Februari 2016 bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan utiliti dan infastruktur yang melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal, Rezab Hidupan Liar dan Taman Negara. Agensi-agensi yang terlibat seperti Kementerian Tenaga Teknologi Hijau, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan agensi-agensi yang berkaitan. Dalam mesyuarat tersebut Kementerian menekankan tentang perlunya mengambil kira laluan hidupan liar dalam semua perancangan pembangunan termasuk pembinaan lebuhraya dan utiliti di seluruh Malaysia. Pihak Kementerian perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum perancangan pembinaan lebuhraya dan utiliti di kawasan Hutan Simpanan Kekal, Rezab Hidupan Liar dan Taman Negara.
Di samping itu, pihak Kerajaan telah menghasilkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi bagi mewujudkan satu rangkaian hutan secara fizikal dan bersambung di sepanjang kawasan Central Forest Spine (CFS) yang bertujuan untuk pemuliharaan Biodiversiti Negara dan juga sebagai rujukan utama mana-mana perancangan masa hadapan terhadap pengunaan tanah di kawasan CFS antaranya seperti pembinaan Viaduct.
4
Pihak Kementerian melalui Jabatan PERHILITAN juga telah memasang papan tanda, amber light dan transverse bar di kawasan lintasan hidupan liar bagi memberi peringatan kepada pemandu agar memperlahankan kenderaan mereka ketika melalui kawasan lintasan hidupan liar. Sebanyak 236 papan tanda lintasan hidupan liar telah dipasang di 133 lokasi hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh Semenanjung Malaysia. Sebanyak 213 lagi papan tanda akan dipasang di dalam RMKe11. Usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dijalankan ini diharap akan dapat mengurangkan kemalangan yang membabitkan kenderaan dan hidupan liar di lebuh raya atau jalan raya di Negara ini.


Sekian, terima kasih.

Attachments