Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah dan masih meneruskan usaha bagi mengawal pencemaran sungai khususnya bagi punca-punca seperti pelepasan industri, loji-loji kumbahan, serta projek pembangunan yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974). Antara punca-punca lain yang boleh menyumbang kepada pencemaran sungai adalah pelepasan daripada pusat penyediaan makanan, aktiviti perladangan, aktiviti penternakan dan juga projek pembangunan yang dikawal oleh pelbagai agensi.
Antara usaha dan persediaan yang diambil oleh JAS bagi mencegah dan mengawal pencemaran yang boleh menjejaskan kualiti air sungai adalah:
(a) Melaksanakan penguatkuasaan terhadap aktiviti industri secara pematuhan kendiri (self regulation) oleh industri;
(b) Menjalankan penguatkuasaan secara menyeluruh (termasuk pemeriksaan / siasatan ke premis - ‘command and control’) terhadap pengoperasian premis-premis dan juga projek pembangunan yang tertakluk di bawah AKAS 1974;
(c) Melaksanakan pemantauan secara desktop enforcement melalui sistem pemantauan jarak jauh menerusi sistem telemetri, sistem pemantauan pelepasan bulanan (Monthly Discharge Monitoring
System) yang diwajibkan ke atas industri yang menghasilkan efluen supaya semua punca-punca tersebut mematuhi AKAS 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya;
(d) Melaksanakan pemeriksaan susulan bagi menentusahkan pelaporan yang dikemukakan adalah berintegriti dan tepat dengan situasi yang berlaku di lapangan. Tindakan penguatkuasaan seperti amaran bertulis di lapangan (field citation), Notis Arahan, tawaran kompaun, penyitaan peralatan, perintah larangan operasi atau tindakan mahkamah akan dikenakan ke atas mana-mana punca yang didapati tidak patuh;
(e) Menyemak dan membuat pindaan-pindaan kepada peruntukan AKAS 1974 dan peraturan yang berkaitan sebagai penambahbaikan selaras dengan perkembangan semasa teknologi kawalan pencemaran dan kaedah pengurusan alam sekitar yang dinamik dan kompleks;
(f) Menerbitkan pelbagai dokumen dan garis panduan serta menjalankan aktiviti kesedaran alam sekitar bagi meningkatkan kefahaman pihak-pihak yang berkenaan ke arah pematuhan kepada kehendak perundangan alam sekitar yang berkuatkuasa; dan
(g) Mempertingkat dan memperkemaskan program-program pemantauan kualiti air yang dilaksanakan oleh Jabatan bagi memenuhi keperluan bagi membuat keputusan.
Selain itu juga, pihak Kementerian turut memperkukuhkan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama mana-mana agensi yang berkaitan dalam menangani sesuatu isu pencemaran dengan lebih berkesan.
Sekian, terima kasih.