Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 April 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

32

Soalan

YB. Dato' Noraini Binti Ahmad [Parit Sulong] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah usaha FRIM ke arah mengekalkan status sebagai sebuah Warisan Kebangsaan dan mengapa FRIM berhasrat untuk mendapat pengiktirafan World Heritage Site memandangkan FRIM telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Kebangsaan pada tahun 2012.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Pencalonan sebagai Tapak Warisan Dunia-UNESCO akan mengukuhkan lagi usaha penjenamaan FRIM sebagai tapak warisan bertaraf dunia seiring dengan status sebagai sebuah institusi penyelidikan perhutanan tropika yang terulung di dunia. Bagi merealisasikan pengiktirafan Tapak Warisan Dunia-UNESCO dan mengekalkan status sebagai Warisan Kebangsaan, FRIM telah melaksanakan perkara-perkara berikut:
i. menubuhkan tabung dana pemuliharaan tapak warisan yang dibiayai Lembaga FRIM sejak 2015, khas bagi membiayai pelbagai program penyelidikan dan pemuliharaan;
ii. membangunkan blue-print pelan pengurusan Intergrated Conservation and Management Master Plan sebagai dokumen rujukan usaha pemeliharaan FRIM;
iii. menubuhkan kumpulan pengurusan khas yang terdiri daripada kakitangan FRIM, Jabatan Warisan Negara dan Kerajaan Negeri Selangor menerusi Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM dan pemantauan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Kampus FRIM bagi memperkasakan aspek pengurusan dan pelindungan;
3
iv. menggalakkan pelindungan jangka panjang ke atas aset-aset FRIM antaranya populasi pokok warisan dengan membangunkan fasiliti keselamatan seperti “lightning arrester” agar kadar kematian pokok akibat panahan petir dapat dielak atau dikurangkan;
v. pembabitan kumpulan pakar rujuk bidang (subject matter expert) dari dalam dan luar negara agar sistem pengurusan dan pemuliharaan FRIM diperkukuh dan ditingkatkan di masa hadapan; dan
vi. mengukuhkan jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan dan rakan strategik yang terdiri daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor, Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri Selangor dan komuniti tempatan menerusi beberapa sesi bengkel dan seminar sejak 2015 bagi perkongsian maklumat dan penyelidikan. Output bengkel ini akan dijadikan rujukan dalam penghasilan Pelan Induk Pembangunan Kampus Hijau Tapak Warisan FRIM dan Pelan Induk Pembangunan Komuniti Tapak Warisan FRIM.


Sekian, terima kasih.

Attachments