Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

06 April 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

37

Soalan

Dato’ Fauzi bin Abdul Rahman [ Indera Mahkota ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sama ada Kerajaan telah membubarkan Majlis Tanah Negara (MTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Jika belum, apakah tindakan MTN untuk mengembalikan status Tanah Rizab Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kini semakin terhakis.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri masih kekal berfungsi sehingga kini. Majlis Tanah Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, merupakan satu platform rundingan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi membentuk suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain.
Majlis Tanah Negara telah bersidang sebanyak 72 kali sejak mesyuaratnya yang pertama pada tahun 1958 sehingga mesyuarat yang terkini, pelbagai dasar diperkenalkan demi kepentingan rakyat.


Urusan Tanah Rizab Melayu terletak di bawah bidang kuasa negeri sepertimana yang disenaraikan dalam butiran 2(b) Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan pembahagian bidang kuasa perundangan yang ditetapkan dalam Perkara 74 Perlembagaan.
Dalam konteks Tanah Rizab Melayu, Majlis Tanah Negara yang ke-69 pada tahun 2013 telah memutuskan supaya sebuah pangkalan data diwujudkan bagi memastikan data Tanah Rizab Melayu diselaraskan dengan teratur. Tanah Rizab Melayu dilindungi di bawah peruntukan 89 Perlembagaan Persekutuan di mana semua pihak terutamanya kerajaan
3


negeri yang berkaitan harus melaksanakan prosedur gantian semula Tanah Rizab Melayu sekiranya berlaku sebarang pembatalan.
Dalam hal ini, NRE telah mewujudkan satu jawatankuasa pemandu di peringkat Persekutuan untuk menyelaras aktiviti pengurusan data Tanah Rizab Melayu dan menjadi platform perbincangan antara negeri-negeri dan Persekutuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan Tanah Rizab Melayu dan perkongsian maklumat serta contoh amalan terbaik negeri-negeri.


Sekian, terima kasih.
Attachments