Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 July 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

84

Soalan

Dato' Haji Ahmad Nazlan Bin Idris [Jerantut] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan pencapaian semasa Malaysia di dalam pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) seperti yang telah diperakui semasa sidang Kemuncak Perubahan Iklim Copenhagen 2009 di mana Kerajaan Malaysia telah komited dengan pengurangan sehingga 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Semasa persidangan UNFCCC COP-15 di Copenhagen, Denmark pada 2009, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan hasrat sukarela negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 40% menjelang 2020 berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005. Pencapaian indikator sukarela ini adalah tertakluk kepada penerimaan bantuan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti daripada negara-negara maju.
Pada 12 Disember 2015, semasa persidangan UNFCCC COP-21 di Paris, Perancis, Malaysia dan 195 negara parti kepada UNFCCC telah bersetuju menerima Perjanjian Paris. Malaysia telah meratifikasikan perjanjian tersebut pada 16 November 2016.
Bagi menyumbang kepada matlamat Perjanjian Paris untuk menangani isu perubahan iklim global dalam jangka masa panjang, Malaysia dan negara parti kepada UNFCCC yang lain perlu menyediakan dan mengemukakan Nationally Determined Contributions (NDC) kepada UNFCCC. NDC merupakan sumbangan negara kepada usaha global untuk menangani impak perubahan iklim.
Melalui NDC tersebut, Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005 menjelang 2030. Daripada keseluruhan sasaran pengurangan ini, 35% akan dilaksanakan tanpa syarat (unconditional) manakala baki 10% lagi adalah bersyarat (conditional) dan tertakluk kepada penerimaan peruntukan kewangan, pemindahan teknologi, dan pembangunan kapasiti daripada negara maju.
Tuan Yang di-Pertua,
Bagi mencapai sasaran NDC negara, Kerajaan sedang membangunkan Roadmap for Effective Implementation of NDC and Adoption to the Paris Agreement. Roadmap ini dibangunkan untuk mengenalpasti strategi, kaedah, dan keperluan pelaksanaan tindakan mitigasi dan adaptasi oleh pelbagai sektor berkaitan bagi mencapai sasaran NDC negara.
Dalam masa yang sama, bagi mencapai sasaran NDC negara, kerajaan melalui kementerian dan agensi di bawahnya telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) di bawah sektor-sektor utama GHG negara seperti sektor tenaga, pengangkutan, sisa pepejal, proses industri dan pertanian serta perhutanan.
Inisiatif-inisiatif ini menyumbang secara langsung kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG di dalam NDC negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments