Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

24 July 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

89

Soalan

Dato' Fauzi Bin Abdul Rahman [ Indera Mahkota ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sama ada Kementerian bersedia mengharamkan pengeksportan logam bauksit sehingga kaedah perlombongan serta "SOP" nya disediakan oleh pihak yang berwajib. Adakah Kementerian sedar bahawa negara kerugian hasil disebabkan perlombongan bauksit ini dilakukan secara haram.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian tidak bercadang untuk mengharamkan pengeksportan logam bauksit. Walau bagaimanapun Kementerian bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang telah mengenakan moratorium terhadap perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang mulai 15 Januari 2016 susulan daripada isu pencemaran dan keselamatan yang berlaku di Kuantan, Pahang. Seterusnya, pengenaan moratorium tersebut telah disambung beberapa kali dan yang terkini disambung sehingga 31 Disember 2017 disebabkan ketidaksediaan pengusaha untuk mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan di samping isu pengosongan stockpile sedia ada yang masih belum selesai.
Walau bagaimanapun, isu pencemaran dan keselamatan yang timbul akibat daripada aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit yang berlaku pada tahun 2015 telah ditangani dengan berkesan oleh Kerajaan.
Sementara itu, Kementerian ini telah mengadakan pelbagai sesi engagement termasuk mengadakan bengkel bagi membincangkan penambahbaikan yang perlu dibuat dalam aktivti perlombongan dan pengeksportan bauksit. Dalam hal ini, sebahagian besar prosedur yang dikenalpasti telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang merangkumi perkara berikut:
(a) Pendaftaran lori pengangkut bauksit;
(b) Pembangunan sistem database pengeluaran Dokumen Pemindahan Bijih Mineral (Borang 13D);
(c) Pemasangan washing bay di semua jalan keluar dari Pelabuhan Kuantan, stockpile bauksit dan kawasan lombong oleh pengusaha;
(d) Menaiktaraf fasiliti Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman;
(e) Pengukuhan peranan Jawatankuasa Sumber Mineral Negeri;
(f) Penambahbaikan syarat-syarat permohonan Pajakan Melombong / Lesen Melombong Tuan Punya;
(g) Pengguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan); dan
(h) Penambahbaikan prosedur kelulusan Lesen Eksport (AP) bagi Bauksit.
Bagi isu kehilangan hasil oleh Kerajaan Negeri, Kementerian ini menyedari terdapat kelemahan dalam prosedur sebelum ini yang mengakibatkan Kerajaan Negeri tidak dapat mengutip royalti yang perlu dijelaskan oleh pengusaha. Dalam hal ini, penambahbaikan telah dilaksanakan dengan menyelaras maklumat antara Jabatan / Agensi dengan memastikan setiap royalti perlu dijelaskan terlebih dahulu oleh pengusaha sebelum dibenarkan untuk membuat permohonan AP baharu.

Sekian, terima kasih.


Attachments