Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian melalui Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjalankan kajian huluan dan hiliran yang meneroka potensi ubatan tumbuhan dari segi efikasi, keselamatan dan kualiti produk herba.
Daripada 1,200 spesies tumbuhan di seluruh negara yang dilaporkan mempunyai nilai ubatan, FRIM telah meneroka potensi ubatan lebih 480 spesies tumbuhan; antaranya tongkat ali, kacip fatimah, serai wangi, gaharu, asam gelugor dan patawali.
Hasil kajian ini, FRIM telah menghasilkan sekurang-kurangnya 40 produk herba dan penjagaan diri yang telah dikomersial dan/atau berpotensi untuk dikomersialkan.
Selain produk, FRIM juga mempunyai lebih 1150 ekstrak tumbuhan herba, 47 ekstrak piawai, koleksi minyak pati daripada 200 spesies tumbuhan dan 12,000 koleksi aktinobakteria yang telah diuji dan didapati berpotensi dalam penjagaan kesihatan atau pencegahan penyakit-penyakit tertentu seperti diabetik, inflammatori dan anti-kolesterol.
Kemudahan di FRIM seperti makmal yang mempunyai akreditasi bertaraf BioNexus dan MS ISO/IEC 17025; serta pensijilan Sijil Organik Malaysia dan Amalan Pengilangan Baik turut menyokong kawalan kualiti produk herba disamping memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Kementerian turut mengambil langkah mewujudkan Akta FRIM (Akta 782) pada tahun 2016. Akta Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) yang ditubuhkan pada 1985 hanya khusus kepada aktiviti penyelidikan. Melalui Akta ini, FRIM dibenarkan menubuhkan syarikat FRIM bagi komersialisasi produk dan teknologi hasil R&Dnya sendiri.
Selain itu, FRIM juga akan menjadi pusat pensijilan dan pengesahihan bahan mentah herba bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi industri herba negara. Ini membolehkan produk yang dihasilkan berkualiti, selamat dan memenuhi keperluan piawaian tempatan dan antarabangsa.
Sekian, terima kasih.