Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

26 July 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

72

Soalan

Dr. Mohd Hatta Bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan tindakan lanjut Kementerian terhadap syarikat Climate Protector Sdn Bhd yang didakwa melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam perjanjiannya dengan negeri Kelantan dalam urusan 'reducing emissions from deforestation and forest degradation’ (REDD).

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan Negeri Kelantan telah menandatangani perjanjian bersama syarikat Climate Change Protector Sdn. Bhd untuk melaksanakan urusniaga kredit karbon. Kerajaan Negeri Kelantan telah memperuntukkan 396,000 hektar kawasan hutan bagi tujuan pelaksanaan urusniaga ini secara konsesi kepada pihak syarikat selama 30 tahun.
Dalam masa yang sama, Malaysia sedang membangunkan dasar bagi program Reducing Emissions from Deforestation and Degradation and the Role of Conservation, Sustainable Management of Forests and Enhancement of Forest Carbon Stocks in Developing Countries (REDD+) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).
Malaysia juga sedang berusaha untuk mendapatkan pembiayaan Results Based Payments (RBP) melalui dana Green Climate Fund (GCF). Dana RBP ini akan digunakan untuk pelaksanaan program REDD+. Bagi tujuan ini, Malaysia telah melaksanakan pelbagai aktiviti di peringkat antarabangsa dan nasional serta ‘engagement’ dengan pihak berpentingan seperti kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan mekanisme REDD+ berjalan lancar.
1. Susulan daripada itu, Kementerian telah melaksanakan perkara-perkara berikut:
i. Mengeluarkan kenyataan akhbar bagi menjelaskan pendirian Kerajaan mengenai pelaksanaan mekanisme REDD+;
ii. Mengemukakan maklumat secara bertulis mengenai mekanisme REDD+ kepada kerajaan negeri dan pihak-pihak berkepentingan yang lain; dan
iii. Bersedia untuk memberikan penjelasan dasar dan teknikal kepada mana-mana Kerajaan Negeri atau pihak berkepentingan yang ingin mengetahui mengenai mekanisme REDD+. Dalam hal ini, Kementerian telah memberikan taklimat mekanisme REDD+ kepada Kerajaan Negeri Sembilan.

Sekian, terima kasih.

Attachments