Tuan Yang di-Pertua,
Secara dasarnya, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) menyokong pengembangan industri mineral negara termasuk bauksit selaras dengan Dasar Mineral Negara 2 yang dilancarkan sekitar tahun 2009 kerana ia memberikan impak positif terhadap ekonomi negara. Walau bagaimanapun, pembangunan industri perlombongan negara perlu seiring dengan penjagaan alam sekitar agar ianya berlaku secara mampan.
Dalam hal perlombongan dan pengeksportan bauksit, Kementerian ini bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang telah mengenakan moratorium terhadap perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri Pahang mulai 15 Januari 2016 susulan daripada isu pencemaran dan keselamatan yang berlaku di Kuantan, Pahang. Seterusnya, pengenaan moratorium tersebut telah disambung beberapa kali dan yang terkini disambung sehingga 31 Disember 2017 disebabkan ketidaksediaan pengusaha untuk mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan di samping isu pengosongan stockpile sedia ada yang masih belum selesai.
Pada masa ini, kebenaran untuk mengeksport bauksit hanya diberikan bagi tujuan pengosongan stockpile bauksit sedia ada sahaja dan perlombongan bauksit masih lagi tidak dibenarkan dan ia tertakluk kepada moratorium.
Sekian, terima kasih.