Tuan Yang di-Pertua,
Pihak syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd (RAGM) yang menjalankan operasi perlombongan emas bertanggungjawab untuk mematuhi syarat-syarat yang diluluskan di dalam Skim Pengendalian Melombong di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994. Syarikat hendaklah melaksanakan perkara-perkara yang berikut;
(a) Mengamalkan sistem air “pusing balik”;
(b) Effluen yang keluar dari kawasan lombong, jika ada, hendaklah mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Akta Alam Sekeliling (Kumbahan Dan Efluen-efluen Perindustrian)1979 iaitu;
(i) Kandungan kelodak (pepejal terampai) hendaklah tidak melebihi 50mg per liter;
(ii) Total cyanide hendaklah tidak melebihi 0.1 mg per liter; dan
(iii) Arsenic hendaklah tidak melebihi 0.1 mg per liter.
Selain itu, pihak pelombong juga dikehendaki untuk menjalankan pemantauan effluen sekurang-kurangnya setiap 2 hari sekali di 3 lokasi di saliran yang ditetapkan di dalam dan di luar kawasan lombong bagi menentukan tahap kandungan kelodak, cyanide, arsenic dan pH dalam effluen.
RAGM mengunapakai teknologi Carbon-in-leach (CIL) yang menggunakan dilute sodium cyanide (350mg/l) yang biasa digunakan oleh Negara maju
yang lain seperti Australia. Loji RAGM ini dibina oleh sebuah syarikat dari Afrika Selatan yang mempunyai pengalaman dan bertaraf antarabangsa. Penggunaan cyanide di lombong ini adalah secara litar tertutup iaitu ianya akan digunakan semula.
Air lebihan yang akan disalirkan dari loji ke kawasan takungan hampas mengandungi 80 part per million (ppm) atau 80 mg per liter cyanide. Kandungan cyanide dalam kolam hampas ini akan makin berkurangan apabila terdedah kepada cahaya matahari. Kawasan hampas yang digunakan adalah di bawah paras bumi dan tiada air limpahan akan keluar kerana air ini akan digunakan semula.
Sekian, terima kasih.