Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 5

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

31 July 2017

Tahun Persidangan

2017

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

88

Soalan

Dato' Dr. Mujahid Bin Yusof Rawa [Parit Buntar] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejauh mana keberkesanan urusniaga kredit karbon yang dijalankan di Malaysia bagi tujuan memelihara alam sekitar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Aktiviti ‘carbon trading’ yang disertai oleh negara adalah melalui program Mekanisme Pembangunan Bersih (Clean Development Mechanism – CDM) di bawah Protokol Kyoto. CDM diwujudkan di bawah Protokol Kyoto dengan tujuan untuk membantu negara-negara membangun mencapai pembangunan lestari dan menyumbang kepada objektif Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) serta membantu negara maju untuk mematuhi komitmen mereka di bawah Artikel 3 Protokol tersebut.

Pelaksanaan CDM bukan sahaja melindungi alam sekitar tetapi menjadi sumber kepada pertumbuhan ekonomi dan juga pembangunan sosial. Program CDM memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi yang mengurangkan pelepasan GHG serta turut membantu menangani pencemaran lain seperti pencemaran air dan udara. Mekanisme CDM juga membolehkan pemaju projek berkaitan alam sekitar mendapatkan pemindahan teknologi, pelaburan dan juga hasil daripada penjualan Certified Emmision Reductions (CERs).

Malaysia mempunyai 143 projek CDM yang berdaftar dengan CDM Executive Board. Jumlah ini adalah 1.9% daripada projek-projek CDM yang didaftarkan di seluruh dunia dan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.7 juta.

Pada akhir tempoh komitmen pertama Protokol Kyoto pada tahun 2012, dianggarkan 24 juta tan karbon telah dikurangkan. Sebahagian besar daripada aktiviti projek adalah berkaitan dengan hasil buangan sawit (oil palm residues) seperti tenaga biojisim, pengumpulan metana. Aktiviti lain yang direkodkan adalah seperti projek berkaitan kecekapan tenaga, tenaga hidro, buangan berjadual, dan pengangkutan.
Sehingga Disember 2016, Malaysia telah menjana lebih 10 juta tan kredit hasil daripada pelaksanaan CDM. Mengambil kira harga purata USD10 untuk setiap tan, pelaksanaan CDM telah menghasilkan pendapatan sebanyak USD100 juta kepada pemaju-pemaju projek CDM di Malaysia.
Pada masa ini, pelaksanaan mekanisme CDM di peringkat nasional adalah ditadbir urus oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan dibantu oleh Jawatankuasa Kebangsaan dan Teknikal CDM. Ahli-ahli jawatankuasa adalah terdiri daripada kementerian-kementerian, kerajaan-kerajaan negeri, jabatan-jabatan perhutanan negeri dan agensi–agensi berkaitan.

Sekian, terima kasih.

Attachments